Ads 468x60px

Sunday, February 9, 2014

Tour de’ Pamilaan: Membongkar tarikan di balik belukar (TdP siri 2)

Siri II

Oleh HENRY BATING

Hidangan tradisi disajikan kepada
 pengunjung Tour de’ Pamilaan

TARIKAN utama Wasai Pamilaan tidak lain dari panoramanya yang berada di bawah kolong rimbunan hutan dara beserta beberapa lubuk mandi-manda dan dua lokasi air terjun berdekatan. Keletihan berjalan menuruni lurah yang curam serta-merta menjadi reda tatkala membasuh tangan sebaik menjejak kaki di tebing sungai.
Masa sejam dua memadai bagi pengunjung menikmati kesejukan, meneroka lubuk ke lubuk dan mencapai satu lagi air terjun kira-kira satu kilometer ke hulu. Meninggalkan Wasai dengan memanjat tebing berpaut pada akar-akar kayu, pengunjung kemudian boleh menikmati masa santai singgah di rumah-rumah penduduk bagi menghayati kehidupan harian masyarakat kampung.

Tarikan mengenai Wasai Pamilaan sudah menjadi buah bibir penduduk kampung sejak sekian lama. Namun demikian sehingga pada pelancaran Tour de’ Pamilaan (TdP) 17 Ogos 2013, belum ada usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan untuk memajukan lokasi itu sebagai destinasi yang menarik. Joe Milan, belia Kg Pamilaan yang berprofesi sebagai guru menggambarkan Wasai itu sebagai memiliki suasana tenang, menyenangkan dan bersih.
Wasai itu terletak berhampiran sempadan Banjaran Crocker di gaung antara dua buah bukit bernama Kukuton di bahagian Barat dan Bobodok di bahagian Timur. Wasai itu belum tercemar daripada segala bentuk pencemaran dan memang amat sesuai didatangi oleh kalangan pencinta alam yang menginginkan ketenangan.
Jarak perjalanan ke Wasai adalah kira-kira 6Km dari jalan raya besar simpang Kg Pamilaan, tepatnya di SRK St Pius. Persimpangan itu merupakan pertengahan lebuh raya Tenom – Keningau iaitu kira-kira 24Km dari Tenom dan 26 Km dari Keningau. Perjalanan berkenderaan ke Pamilaan dari Tenom atau Keningau hanya memakan masa kira-kira 20 minit.

Perjalanan masuk ke Kg Pamilaan dari persimpangan ke Tobobon sejauh kira-kira 3Km berada dalam keadaan selesa dengan jalan raya berturap. Namun cabaran bermula untuk perjalanan seterusnya kerana hanya kenderaan pacuan empat roda atau motosikal mampu menempuh jalan berbatu ke puncak Bukit Kukuton sebelum berjalan kaki kira-kira 1Km ke Wasai.
Namun demikian, jika pengunjung mahu menguji ketahanan fizikal dan mental, pengunjung boleh memilih untuk berjalan kaki. Kelancaran perjalanan bergantung kepada keadaan cuaca. Anggaran masa untuk sampai ke Wasai dengan berjalan kaki adalah kira-kira 1-2 jam. Manakala jika menggunakan kenderaan, pengunjung diperkirakan sampai ke Wasai dalam tempoh 15-20 minit.


Pada ketika ini, Wasai hanya boleh dikunjungi pergi dan balik sahaja kerana belum mempunyai tapak perkemahan yang selesa. Bagaimanapun, sekiranya mahu bermalam, pengunjung boleh membawa beg tidur atau ‘Hamock’ sahaja. Wasai itu sering dikunjungi penduduk terutama sekali kalangan belia.
“Air terjun yang hanya berketinggian kira-kira tiga meter dengan kadalaman lubuk 2.5 meter cukup untuk pengunjung merasakan kedinginan dan getaran bibir kesejukan,” kata Joe Milan sambil menambah, segala aktiviti menangkap ikan adalah dilarang sama sekali kerana kawasan itu termasuk dalam wilayah ‘Tagal’ yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Joe Milan menekankan, pengunjung hanya boleh melawat tempat itu tetapi tidak dibenarkan melakukan apa-apa gangguan terhadap persekitaran dan isi sungai. Pernyataan yang sama turut disuarakan oleh Ketua Kampung, Johnny Borok dan Pengerusi JKKK, Dewin Kaling.
Joe Milan turut melahir betapa perlunya panduan berbentuk papan tanda diletakkan di tempat-tempat strategik untuk memberi informasi perjalanan serta nombor-nombor yang boleh dihubungi untuk kegunaan para pengunjung yang belum biasa dengan tempat itu.

“Pengunjung sebenarnya memiliki beberapa pilihan untuk mandi-manda di Wasai. Selain air terjun yang biasa dikunjungi, terdapat satu lagi air terjun di hulu yang boleh dikunjungi. Kedudukan antara satu air terjun dengan air terjun yang lain tidak begitu jauh. Tapi air terjun di hulu belum dikunjungi ramai,” kata Julius Elip, seorang pemimpin belia di Kg Pamilaan.
Sementara itu, dalam pertemuan dengan penduduk, Justina Datuk Dusing meminta setiap keluarga memikirkan dan mengusahakan produk pelancongan yang boleh ditawarkan kepada setiap rombongan yang akan datang ke tempat itu apabila sampai masanya.

“Selain hidangan tradisi, kesenian juga harus ditampilkan termasuk permainan rakyat, keindahan musim menanam padi dan segala aktiviti yang dapat menarik perhatian pengunjung untuk datang lagi dengan rombongan yang lebih ramai,” kata Justina yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan.
Justina adalah penduduk Kg Pamilaan yang menjadi Pengurus Besar Olumis Borneo Batik di ibu negeri yang mengusahakan pengeluaran kain batik, rekaan fesyen, jahitan dan promosi pameran. Sempena pelancaran TdP, pelbagai produk kampung sempat dinikmati pengunjung termasuk hidangan tradisi, menjala ikan di kolam, melastik, membela kerbau, memukul gong dan sumazau.

Seperkara lagi, kunjungan ke Pamilaan sudah pasti menawarkan nuansa tempatan yang tersendiri di mana sebahagian besar kanak-kanak berumur bawah 10 tahun masih bertutur dalam bahasa Kadazandusun dialek Liwan. Sebarang pertanyaan boleh disampaikan kepada Stanly Leo 0198120553 atau melalui facebook Pamilaan Villa. TAMAT


Kanak-kanak antara yang menikmati suasana di Wasai Pamilaan


Dari kiri Albert Karang, KK Johnny Borok, John Sarat, Balasius Masuning dan Appollonius Kintang turut mengimbas nostalgia zaman remaja mandi-manda di Wasai Pamilaan

Menghilangkan kesejukan di keliling unggun api

Wasai Pamilaan boleh memuatkan sehingga 100 pengunjung

Fabian Martin menunjukkan kemahiran melastik objek mewakili golongan belia


Justina Datuk Dusing menunjukkan kebolehan melastik bagi pihak wanita. Turut kelihatan Stanly Leo (kiri)

Merambat atau menjala ikan di kolam menjadi sebahagian aktiviti Tour de’ Pamilaan

Sebahagian pengunjung tertarik pada kerbau yang ada di Kg Pamilaan. Turut kelihatan Joe Milan mengambil gambar


Kerbau haiwan peliharaan yang jinak dan bersahabat kepada pengunjung

Acara memukul gong dan sumazau turut mengalu-alukan pengunjung Tour de’ Pamilaan

Hidangan ringan Hari Raya turut menyerikan kehadiran pengunjung Tour de’ Pamilaan

Oleh: Henry Bating
Rencana Utusan Borneo 20 Ogos 2013

No comments:

 
 
Blogger Templates