Tour de' Pamilaan Siri I
Oleh HENRY BATING
John Sarat membuat cubaan melastik objek
|
MENGUNJUNGI pelbagai aktiviti dalam pakej pelancongan Tour de’ Pamilaan
(TdP) adalah perjalanan yang berbaloi dari arah Kota Kinabalu ke kawasan
pedalaman untuk menghabiskan percutian. Pelancaran promosi TdP yang pertama 17
Ogos 2013 telah menyerlahkan satu lagi percutian lasak dari bawah rimbunan
rimba yang selama ini belum sampai ke pengetahuan ramai.
Pengunjung boleh menghabiskan masa sehari suntuk mengikuti pelbagai
program dalam pakej TdP. Pakej TdP menjanjikan kenangan yang sukar luput dari
ingatan setiap pengunjung. Dalam TdP ada suasana santai di Taman Rekreasi Batu
15, juga kembara bermotosikal dan berkereta merentas rumah-rumah perkampungan,
cabaran lasak bermotosikal dan berkereta pacuan empat roda mendaki puncak Bukit
Kukuton serta ujian lasak fizikal berjalan kaki menyusur denai menuruni lurah
yang curam ke Wasai (air terjun) Pamilaan.
Di Wasai Pamilaan, lubuk dan persekitaran air terjun ramah memuat
sehingga 100 pengunjung untuk mandi-manda, melakukan aksi terjunan, mendirikan
unggun api, memasak dan bersantai. Suasana di Wasai dingin sepanjang masa
lantaran hutan dara yang tebal masih berselubung. Sejam berada di Wasai cukup
memuaskan nikmat dan pengunjung boleh balik dengan singgah di rumah-rumah
penduduk yang sedia menanti.
Di rumah-rumah penduduk, pengunjung boleh menikmati hidangan tradisi
dan merasai cara hidup harian penduduk. Pelbagai aktiviti ditawarkan kepada
pengunjung seperti menjala ikan di kolam, memasak, melastik, membela kerbau,
menoreh getah, berjalan menggunakan ‘rampanau’, bermain gasing, memukul gong,
sumazau dan becerita dalam bahasa Kadazandusun dialek Liwan.
“Pengunjung Tour de’ Pamilaan dari arah Kota Kinabalu boleh mengalami
perjalanan yang berbaloi sepanjang tiga hari. Pada hari pertama pengunjung
boleh menghabiskan percutian dengan singgah di banyak tempat sepanjang
perjalanan Kota Kinabalu – Tambunan – Keningau – Tenom,” kata John Sarat,
Timbalan Pengerusi Badan Alumni St Pius, Pamilaan.
John, seorang guru lulusan sebuah universiti di Amerika pada tahun 1995
memberikan perkongsiannya hasil pengalaman berinteraksi dengan beberapa kumpulan
pelancong yang melawat Negeri Sabah.
Pusat-pusat persinggahan pada hari pertama termasuklah Pusat Rama-Rama
Kipandi, Pasar Sayuran Togudon, Resort Gunung Alab, Pusat Informasi Refflesia,
Air Terjun Masakob, Pekan Tambunan, Gerai Rompon, Taman Bandukan Bingkor
dan Pekan Keningau. Pada hari kedua,
pengunjung boleh menghabiskan masa sehari suntuk menikmati pelbagai program
dalam pakej Tour de’ Pamilaan sebelum menginap di Pekan Tenom. Manakala pada hari
ketiga pengunjung boleh meneruskan perjalanan ke Pangi-Rayoh menaiki keretapi untuk
aktiviti lasak air ‘White Water Rafting’.
Pengerusi Badan Alumni St Pius, Philip Balasom Basalant ketika
melancarkan promosi pertama Tour de’ Pamilaan memberitahu pihaknya akan
meneliti dokumentari yang dibuat dalam penggambaran sepanjang program tersebut
untuk dipromosikan kepada pihak-pihak berkaitan pelancongan di peringkat Negeri
Sabah dan Persekutuan.
“Kita akan memasarkan program pelancongan Tour de’ Pamilaan kepada para
pelancong dalam dan luar negara setelah beberapa kemudahan infrastruktur dapat
dibangunkan dengan memperkembangkan penglibatan penduduk menawarkan lebih
banyak aktiviti termasuk pembangunan homestay,” kata Philip, pesara Penolong
Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah.
Philip juga adalah alumni St Pius yang pertama lulus di universiti
setelah tamat pengajian di salah sebuah universiti di United Kingdom pada tahun
1989.
Sementara itu, Ketua Kampung Kg Pamilaan, KK Johnny Borok menyambut
baik pelancaran promosi itu dengan memberi jaminan akan bekerja bersama pihak
JKKK untuk merangka pelbagai kemudahan dalam pakej TdP.
“Kita sedar usaha ini bukan mudah tapi kita perlu lakukan kerana
program ini boleh memberikan manfaat kepada penduduk kampung untuk meningkatkan
pendapatan. Kita yakin usaha ini boleh dibuat kerana kerajaan yang ada sekarang
amat menyokong penuh terhadap pembangunan sektor pelancongan khususnya di luar
bandar,” kata Johnny.
Dalam perjumpaan di hujung program, resolusi dibuat di mana Badan
Alumni St Pius Pamilaan akan mengadakan promosi Tour de’ Pamilaan sekali
setahun dengan tambahan menaja program bersifat akademik pada hari pertama
Pesta Kaamatan peringkat kampung pada setiap tahun. Bersambung esok dalam Siri
II dan terakhir.
Khidmat masyarakat oleh Philip Basalant (kiri) selaku pesara pegawai
kanan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah
|
Menyusur tebing Taman Rekreasi Batu 15 Pamilaan
|
Kegiatan memanggang pengunjung Taman Rekreasi Batu 15 Pamilaan
|
Konvoi motosikal dan kenderaan melibatkan 88 peserta
|
Cabaran merentas Kukuton ke Wasai Pamilaan
|
Anak kecil turut serta dalam kenderaan merentas Kukuton ke Wasai
Pamilaan
|
Konvoi motosikal turut menguji kekuatan merentas Kukuton ke Wasai
Pamilaan
|
Melewati sulap penduduk perladangan getah di Kukuton
|
Cabaran berjalan kaki menuruni lurah Kukuton ke Wasai Pamilaan
|
KK Johny Borok (kanan) memerhatikan petugas bantuan kecemasan yang
memberi rawatan ringan kepada seorang peserta
|
Kanak-kanak antara yang menikmati suasana di Wasai Pamilaan
|
Oleh : Henry Bating
Rencana Utusan Borneo 19 Ogos 2013
No comments:
Post a Comment