Siri
3
Oleh
HENRY BATING
PUMPUWAK
atau seruling pendek menghasilkan
irama klasik dibunyikan oleh Balasius Darapan
|
MOGINAKAN
atau pesta kesyukuran dengan ‘mangalap’ atau mengundang sanak-saudara serta
sahabat handai dan rakan taulan dari dekat mahupun jauh untuk sama-sama
meraikan kesyukuran diserikan pelbagai persembahan kesenian.
Inap-desa
atau Homestay Pamilaan, Tenom yang mula menerima tetamu 1 Disember lalu telah
menghadirkan persembahan kesenian di lima buah rumah tradisi yang terletak di
lereng pinggir dataran tanah tinggi Lologubon.
Rombongan
Mr Stanley P. Hill, mantan guru besar St Pius, Pamilaan (1962-1966) telah
diraikan dengan irama ‘pumpuwak’ atau seruling pendek yang telah dibunyikan
oleh Balasius Morudin Darapan.
Irama
sompoton versi lagu-lagu moden yang telah dibunyikan oleh seorang belia,
Clarence Elip turut mengalu-alukan rombongan Stanley dari Tambunan. Tidak
ketinggalan menyambut tetamu ialah seorang warga emas, Pius Bansau Dangil yang
memperdengarkan bunyi ‘tongkungon’ dengan irama gong sumazau di rumah Narantai.
Di
rumah Lologubon, rombongan tetamu disambut oleh paluan gong Penampang berirama
sumazau. Demikian juga di halaman rumah Tobobon, rombongan tetamu dan orang
ramai dihiburkan dengan paluan gong. Pada halaman yang rimbun dan dingin itu,
irama gong sumazau telah menggamit perasaan pengunjung untuk turut serta
bersumazau.
Melengkapi
bunyi-bunyian tradisi, suara harmoni koir turut mengalu-alukan tetamu di rumah
Misompuru, rumah Lologubon dan rumah Narantai. Lagu-lagu yang didendangkan
dengan iringan gitar merupakan ciptaan yang melambangkan serta menceritakan
tentang identiti rumah masing-masing.
Kanak-kanak
bawah 10 tahun turut mengambil ruang di hadapan rumah bagi menyambut tetamu
dengan alu-aluan serta ‘bercerita beramai-ramai’ dalam bahasa Kadazandusun. Sapaan
dan taklimat kepada rombongan tetamu turut disampaikan dalam dialek tempatan.
Persembahan
kesenian, alu-aluan dan corak sambutan di rumah-rumah Homestay Pamilaan
menggambarkan latar belakang asal-usul penduduk kampung berkenaan yang 95
peratus berketurunan Kadazandusun.
Morudin,
60, menceritakan bahawa keseluruhan daripada kira-kira 500 penduduk di kampung
itu berasal dari Mukim Kirokot, Tambunan. Generasi pertama mula berhijrah
kira-kira pada tahun 1940.
“Keadaan
di kampung asal yang amat terpencil dan kurang subur telah mendorong penduduk
dua kampung di Kirokot iaitu Kidalamas dan Bundusan untuk berpindah mencari
tempat di mana rezeki mudah diperoleh,” kata Morudin.
Morudin
menjelaskan, penghijrahan mereka adalah berjalan kaki melalui Keningau ke
Melalap untuk bekerja di Ladang Getah British. Selain di Melalap, ada di
kalangan penghijrah pergi bekerja di ladang getah di Sapong, Western Beaufort
dan malahan sampai di Kawang, Papar.
“Lambat
laun, ramai di kalangan mereka bertumpu di Melalap dan menjalinkan persaudaraan
dengan penduduk setempat seperti keluarga OKK Sanggau bin Jalang,” kata Morudin
sambil menambah bahawa hubungan rapat dengan penduduk setempat telah
memungkinkan mereka berkampung di sekitar Ladang Getah Melalap seperti di
Sumbiling, Pangalat, Ulu Tepoh dan Pamilaan.
Pamilaan
kini adalah Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang memiliki kira-kira 700 pengundi.
Kampung ini adalah satu-satunya kawasan luar bandar di Tenom yang terawal
memperoleh kemudahan sekolah didirikan mubaligh hujung 1950-an.
Urusetia
Persatuan Alumni St Pius yang mengendalikan pakej pelancongan di Pamilaan boleh
dihubungi melalui 0198120553 (Stanly Leo), 0198830535 (Philip) dan 0195884535 (Justina).
Siri terakhir paparan ini akan berkisar kepada upacara perasmian dan pendapat
pelbagai pihak mengenai potensi pusat pelancongan itu.
IRAMA
Sompoton versi lagu moden dibunyikan Clarence Elip
|
TONGKUNGON
menyerupai memetik gitar menghasil rentak gong sumazau
|
STANLEY
P. Hill diraikan dengan paluan gong di rumah Lologubon
|
PALUAN
gong di halaman rumah Tobobon
|
SUASANA
rimbun dan dingin di halaman rumah Tobobon menyegarkan jiwa seni
|
BELIA
dengan lagu identiti rumah Lologubon
|
KOIR
lagu identiti rumah Misompuru menyambut tetamu di halaman rumah tradisi
|
DUA
generasi menikmati nasi linopot campur
|
Oleh HENRY BATING
No comments:
Post a Comment