Ads 468x60px

Thursday, February 27, 2014

Tradisi Mongoi Panau - Warisan jalinan kasih sayang dan persaudaraan


Oleh HENRY BATING


PENGANTIN perempuan diring keluar dari rumah 
keluarganya untuk diarak ke rumah pengantin lelaki
TRADISI ‘mongoi panau’ dalam adat perkahwinan masyarakat Dusun di pedalaman memberikan signifikan terhadap hubungan persaudaraan antara dua keluarga pasangan berkahwin. ‘Mongoi panau’ dalam pengertian secara gramatikal bermaksud ‘rombongan pergi menjemput pengantin perempuan diarak ke rumah pengantin lelaki’. Namun demikian proses ‘mongoi panau’ tidak semudah seperti yang digambarkan oleh frasa itu.

‘Mongoi panau’ melibatkan beberapa rombongan lelaki datang ke rumah pengantin perempuan untuk tujuan menjemput pengantin berkenaan ke rumah lelaki. Keluarga pengantin perempuan yang dalam istilah ‘polintuhun’ atau mengizinkan anak gadis mereka dikahwini lelaki pilihan dan seterusnya bersatu dengan keluarga lelaki mengenakan beberapa fasa upacara bagi melambat-lambatkan masa ‘polintuhun’.

PENGANTIN perempuan disambut suami dan diraikan penuh gambira bagi 
menandakan seorang ahli keluarga baru sudah datang ke tengah-tengah lingkungan keluarga lelaki

Upacara yang diisi menghadap hidangan bersama dan saling berkenalan antara ahli keluarga dan sanak saudara kedua belah pihak secara tersiratnya menunjukkan rasa hati keluarga perempuan yang terlalu sukar untuk melepaskan anak gadis mereka menjadi milik keluarga lelaki. Setelah perkahwinan itu, segala kapasiti anak gadis dalam keluarga ibu bapanya akan beralih ke keluarga lelaki. Segala tenaga, kerajinan, kepakaran dan keistimewaan anak gadis itu akan beralih ke lingkungan keluarga suami.

Rombongan ‘mongoi panau’ yang datang ke rumah pengantin perempuan didahului kumpulan ‘mongoi pamampang’. Rombongan itu berperanan memberi isyarat kepada keluarga perempuan bahawa menyusul mereka sedang bergerak rombongan ‘mongoi panau’ yang berperanan mengajak pengantin perempuan ke rumah lelaki.

Pengantin perempuan akan berada di dalam bilik diiringi para sahabat ‘umpama dayang-dayang’ sementara rombongan mongoi panau diraikan. Setelah melewati pelbagai upacara, barulah rombongan ‘mongoi panau’  dibenarkan mengetuk pintu bilik, masuk bilik dan menarik tangan pengantin perempuan untuk ‘lumintuhun’ atau untuk pengantin itu mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya.

PERSANDINGAN tradisi Jackson Jasri dan Mery Angel


Dalam upacara yang lebih tersusun, pertama sekali rombongan ‘mongoi panau’ disambut di halaman rumah sambil bersapa-sapaan menggunakan bahasa tersirat dan berbunga-bunga. Di halaman rumah itu juga dihulurkan minuman tradisi sebelum dibenarkan naik ke rumah. Sampai di pintu rumah, sedia menanti satu benteng menghulur hidangan makanan dan minuman sebelum dibenarkan masuk. Kadang kala peringkat itu memakan masa sehingga beberapa puluh minit sebelum mendapat laluan masuk ke dalam rumah dan bersembang di ruang tamu.
Di ruang tamu, ahli keluarga dan sanak saudara pengantin perempuan meraikan rombongan ‘mongoi panau’ dengan hidangan. Dalam suasana itu, kenal-mengenali antara kedua belah pihak keluarga berlaku. Kedua belah pihak dapat mengenal jalinan persaudaraan hasil perkahwinan itu. Maka tahulah mereka yang mana satu ‘amod’ (besan), ‘iwan’ (mentua), ‘ipag’ (ipar antara lelaki), ‘along’ (ipar antara perempuan), ‘soruwoi’ (pasangan masing-masing kepada dua adik-beradik) dan seumpamanya.

ANTARA set hidangan yang disajikan kepada rombongan ‘mongoi panau’


Pihak tuan rumah pada hakikatnya mahu melambat-lambatkan pemberian keizinan kepada pengantin perempuan untuk diarak ke rumah lelaki. Perkara itu dilakukan kerana suasana berkenaan merupakan sesuatu yang amat menyedihkan bagi mereka. Justeru, ahli-ahli rombongan ‘mongoi panau’ dengan segala daya upaya berusaha mahu melewati peringkat-peringkat sajian yang disediakan oleh keluarga pengantin perempuan. Selesai majlis beramah-mesra di ruang tamu, tatkala ahli rombongan ‘mongoi panau’ mahu mengetuk dan memasuki bilik bagi menjemput pengantin perempuan, satu peringkat hidangan lagi disajikan di pintu bilik.

Jika dilihat peringkat-peringkat sajian makanan dan minuman yang diberikan, kelihatannya kurang masuk akal dan tidak manusiawi menurut pandangan mata zaman sekarang. Tapi itu bukan tafsirannya. Justeru, menyusul rombongan ‘mongoi ahau’ atau pergi membantu rombongan pertama untuk melewati peringkat-peringkat hidangan. Rombongan ‘mongoi ahau’ akan membantu rombongan pertama untuk menghadapi hidangan-hidangan bagi melemahkan benteng-benteng yang telah disediakan dan berusaha ‘merebut’ pengantin perempuan diarak ke rumah pengantin lelaki.

AHLI rombongan ‘mongoi panau’ yang harus melewati pelbagai rintangan
 untuk menjemput pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki


Menyusul rombongan ‘mongoi ahau’ adalah rombongan ‘mongoi babo’ yang berperanan membantu ahli rombongan terdahulu ‘merebut’ pengantin perempuan. Rombongan ini juga mahu mempastikan tiada mana-mana ahli rombongan tertinggal di rumah keluarga perempuan tatkala pengantin diarak dengan penuh ‘kemenangan’ diiringi paluan gong dan ‘pangkis’ (teriakan kegembiraan) ke rumah lelaki.

Setiba di rumah pengantin lelaki, pengantin perempuan diterima dengan penuh kemesraan, kegembiraan dan kebanggaan kerana seorang ahli keluarga baru sudah datang ke tengah-tengah mereka. Ahli-ahli rombongan juga diraikan dengan penuh kesyukuran di atas susah payah mereka melepasi pelbagai benteng mengajak pengantin perempuan meninggalkan rumah keluarganya.

Tradisi ‘mongoi panau’ masih diamalkan penduduk Kg Pamilaan, Tenom dan pada 22 Februari lalu turut diadakan ketika perkahwinan antara Jackson Jasri dan Merry Angel Balou.

Keratan akhbar Utusan Borneo 27 Feb 2014

PENGANTIN perempuan menerima tanggungjawab pertama di rumah keluarga lelaki dengan memulakan sajian minuman kepada hadirin


Oleh HENRY BATING

No comments:

 
 
Blogger Templates