Ads 468x60px

Sunday, March 9, 2014

Homestay Pamilaan sedia tampung pelajar universiti berkampung ( Siri 4/4 )


Siri 4 (Akhir)

Oleh HENRY BATING


PHILIP BASALANT
HOMESTAY Pamilaan mempunyai kriteria yang diperlukan oleh kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menjalankan penyelidikan bahasa, sastera dan budaya termasuk mengadakan khidmat masyarakat berkaitan warisan tradisi.
Rosliah Kiting, Pensyarah Kanan bahasa Kadazandusun di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak memberitahu pelajar di fakulti itu memiliki program tinggal bersama penduduk kampung untuk menjalankan penyelidikan dan khidmat masyarakat dalam tempoh pengajian mereka.
“Aktiviti pelajar bersama penduduk disusun rapi di mana pada kebiasaannya mereka berada di suatu perkampungan dalam tempoh sehingga lima hari,” kata Rosliah ketika memberi reaksi selepas menyertai majlis sambutan rombongan tetamu pertama di Homestay Pamilaan yang terletak di lereng pinggir dataran tanah tinggi Lologubon, kira-kira 25km dari Pekan Tenom 1 Disember lalu.
Rosliah menyatakan bahawa sumber-sumber yang terdapat di kampung itu seperti warga emas sebagai responden pengetahuan tradisi, alam semulajadi untuk mengambil sampel kajian,  cara hidup bercucuk-tanam, berternak dan generasi yang masih menuturkan bahasa Kadazandusun amat sesuai sebagai lokasi pelajar memperkembangkan teori yang mereka pelajari di kampus.
“Sejauh penyelidikan dan khidmat masyarakat bekaitan dengan bahasa, sastera, budaya dan masyarakat Kadazandusun, maka Homestay Pamilaan ini memiliki kriteria untuk dijadikan sebagai lokasi,” kata Rosliah.
ROSLIAH KITING

Rosliah menambah, projek kajian dan khidmat masyarakat pelajar universiti itu pada kebiasaannya diakhiri dengan seminar, simposium atau malahan kongres juga boleh diadakan dengan menjemput para penyelidik membentangkan hasil kajian mereka.
“Seminar atau kongres itu bukan sekadar untuk peringkat daerah atau negeri, malahan untuk peringkat kebangsaan sekalipun boleh diadakan dan saya melihat Homestay Pamilaan mampu menjadi venue kepada program yang besar seperti itu,” kata Rosliah yang berasal dari Tamparuli.

Pengerusi Persatuan Alumni St Pius Pamilaan, Philip Basalant yang menyambut baik potensi Homestay Pamilaan menjadi tempat pelaksanaan Kongres Bahasa Kadazandusun Peringkat Kebangsaan memaklumkan bahawa lokasi yang sedang dimajukan menjadi destinasi pelancongan itu sudah memiliki kemudahan asas yang minimum dan sedang diperkembangkan untuk menampung keperluan rombongan yang datang.

“Tujuan kami selain membuka peluang baru sumber ekonomi kepada penduduk, kami juga berusaha untuk memberi pendedahan kepada penduduk kampung untuk mengendalikan program-program yang melibatkan masyarakat umum peringkat negeri dan kebangsaan,” kata Philip pesara Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah.
Dalam tempoh enam bulan ini, Alumni St Pius telah menyusun rangka kerja untuk memperkenalkan tiga pakej pelancongan meliputi pakej perkemahan, pakej penggambaran tradisi padi dan penghasilan kraf.
Penasihat Persatuan Alumni St Pius, Stanley P Hill dalam ucapannya menyatakan sebagai penasihat, pihaknya memberi sokongan penuh terhadap apa saja program yang dijalankan persatuan khususnya dalam menjadikan Homestay Pamilaan sebagai destinasi penting pusat lawatan, pusat kajian dan pusat persidangan.
Di dataran tanah tinggi Lologubon tempat letaknya lokasi Homestay Pamilaan turut tersedia padang permainan, dewan yang dilengkapi kemudahan audio-visual, pentas dan ruang perhimpunan. Kira-kira 5km dari tempat ini terdapat air terjun (Wasai) Pamilaan yang menawarkan pengembaraan lasak pacuan empat roda, motosikal dan berjalan kaki.
Di rumah-rumah penduduk, rombongan pelawat boleh menjalankan pelbagai aktiviti seperti menjala, melastik, menarik kerbau, rampanau dan bermain gasing. Sawah penduduk turut mengalu-alukan pelawat mencuba bertani manakala kebun getah yang luas menawarkan kesempatan kepada pelawat untuk mencuba kemahiran menoreh.

Stanley diberi penghormatan menjadi rombongan tetamu pertama di lima buah rumah tradisi itu sebagai junjungan kasih terhadap komitmen beliau menjadi Guru Besar St Pius Pamilaan sejak sebelum kemerdekaan antara 1962-1966. Nama Stanley turut diabadikan pada papan tanda jalan homestay sebagai simbol kejayaan kalangan bekas muridnya memperbaiki kehidupan.
Turut hadir Ketua Kampung, KK Johnny Borok dan pengusaha Olumis Batik Borneo, Justina Datuk J.B. Dusing.

Sebarang pertanyaan mengenai pelancongan di Pamilaan boleh disampaikan kepada Setiausaha II, Stanly Leo di nombor 0198120553, Philip (0198830535) dan Justina (0195884535). 

STANLEY merasmikan ‘Jalan Homestay Pamilaan Mr Stanley P Hill’
 diperhatikan Philip dan Stanly Leo (kiri)

STANLEY bergambar bersama sebahagian bekas pelajarnya
di St Pius Pamilaan ketika menjadi Guru Besar 1962-1966

STANLEY diiringi Stanly Leo disambut penduduk


STANLEY beramah-mesra dengan penduduk sambil 
menunjukkan ‘suki linutau komis’

DARI kiri Justina, Philip, Stanley, isteri dan rombongan 
memerhatikan persembahan di hadapan rumah tradisi


SAMBUTAN ‘sinompuru’ dan kanak-kanak bercerita beramai-ramai 
menyambut ketibaan rombongan tetamu ke rumah tradisi

SEBAHAGIAN hadirin yang turut serta meraikan sambutan
 tetamu di rumah-rumah tradisi Homestay Pamilaan


ANGELINE Francis ketua rumah Lologubon memberi taklimat kepada tetamu

Oleh HENRY BATING
6 Dis 2013 @UtusanBorneo, Rencana.

No comments:

 
 
Blogger Templates