Ads 468x60px

Thursday, March 13, 2014

Variabel saintifik habitat ‘Dukaruk’ ditemui di Piolungan

Siri I/II

Oleh HENRY BATING

DUKARUK dimasak campur tuntul (siput sungai).
VARIABEL kajian saintifik mengenai habitat ‘Dukaruk’ ditemui di Piolungan. Piolungan adalah tempat dua kuala sungai bertemu iaitu Sungai Pamilaan di sebelah kanan dan Sungai Tailaan di sebelah kiri. Piolungan terletak di Pamilaan Villa 23km dari Pekan Tenom. Dua batang sungai itu menyerlahkan ciri berbeza.
Ketua Belia Pamilaan Villa, Julius Elip memberitahu suhu air di Sungai Pamilaan agak dingin manakala suhu air di Sungai Tailaan agak panas. Julius menambah, di sepanjang Sungai Pamilaan tumbuh liar subur di tebing dan batu berlumut satu spesies sayuran yang dalam dialek Dusun disebut ‘Dukaruk’ di mana tumbuhan itu tidak terdapat di sepanjang Sungai Tailaan.
Dalam lawatan tapak pelbagai destinasi pelancongan yang sedang diusahakan, Pengerusi Persatuan Alumni St Pius, Philip Basalant menegaskan bahawa ciri berbeza dua batang sungai itu memerlukan kajian lanjut.
“Ciri berbeza di dua batang sungai itu dapat dijadikan fokus kajian saintifik yang boleh ditawarkan kepada para pengkaji. Pertama sekali, kita perlu memastikan validiti data itu di samping mengumpul faktor-faktor berkaitan untuk dijadikan asas kalangan saintis untuk datang menjalankan kajian,” kata Philip graduan major Ukur Tanah dari United Kingdom.
DUKARUK tumbuh di tebing sungai dan pada batu berlumut.

Dukaruk adalah tumbuhan spesies keladi berwarna hijau. Dukaruk biasanya tumbuh di tebing-tebing sungai. Daun, batang dan ubi Dukaruk boleh dimasak sebagai hidangan. Dukaruk biasa dimasak campur ikan, tuntul (siput) atau pandit (usus halus) kijang. Masyarakat setempat sejak dahulu-kala telah menjadikan ‘Dukaruk’ sebagai sebahagian hidangan istimewa yang ternyata selamat dimakan kerana asli dan tidak tercemar oleh sebarang bahan kimia. Sayuran Dukaruk juga kadangkala dijual di tamu.
Dalam lawatan tapak tersebut, sebanyak enam lokasi dilawati rombongan kira-kira 30 orang dalam konvoi 10 motosikal dan 11 buah kenderaan. Destinasi pertama adalah di Kebun Rekreasi Lindopon milik Gabriel Etim, kedua Kolam D’Sebrang milik Zamri Hj Hashim, ketiga Taman Rekreasi, Perkemahan dan Perkelahan milik Sukim Sarat, keempat Piolungan pertemuan dua kuala sungai, kelima Tapak Perkemahan Leo dan keenam Perkampungan Tradisi Pamilaan Villa. Selesai lawatan tapak, mesyuarat diadakan di Dewan Sarat, Lologubon.

PERTEMUAN Sungai Pamilaan (kanan) dan Sungai Tailaan (kiri) serlah variabel kajian saintifik.

Turut hadir Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Melalap, Simon Mamat, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tenom, Sami Jiman, pengusaha Wasai Tour, Justina Datuk Dusing, Ketua Kampung Kg Pamilaan, KK Johnny Borok, Ketua Kampung Kg Ulu Tepoh, KK Taimin Majigi dan pengusaha pelancongan di Sumbiling, Chinly Moniu.
Dalam reaksinya ketika mesyuarat, Sami menyatakan pihaknya akan memanfaatkan keistimewaan semua lokasi yang dilawati apabila pihaknya mengadakan perkemahan pengakap.
“Seperti yang kita maklum, aktiviti pengakap melibatkan persekitaran alam semulajadi. Pengakap memerlukan kawasan hutan, pengakap juga memerlukan kawasan sungai dan yang paling penting amatlah baik kiranya tapak perkemahan mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, tandas awam dan tapak khidmat masyarakat seperti bersawah dan berkebun,” kata Sami.
Sami yang turut diiringi dua pemimpin pengakap menambah, “sepanjang lawatan tapak tadi, kami mendapati pohon-pohon kayu semulajadi yang dibiar tumbuh di seberang-menyeberang sungai amat sesuai direntangkan tali untuk aktiviti flying fox.”
Menurut Sami, pihaknya juga berharap dapat menubuhkan satu pasukan pengakap kembara di Pamilaan bagi membantu usaha merangsang pertumbuhan pelancongan kampung itu yang berasaskan perkemahan, perkelahan, trekking, kolam rekreasi dan kebun buah-buahan.

SAMI (kanan) adakan perbincangan menentukan tapak perkemahan pengakap


Kebun Rekreasi Lindopon dan Kolam D’Sebrang telah diusahakan sejak beberapa tahun lalu dan sudah mula menerima kehadiran pelancong. Manakala Taman Rekreasi Sukim sedang dalam pembinaan untuk dijadikan sebagai mini resort, sementara Piolungan dan Tapak Perkemahan Leo dikekalkan dalam keadaan semulajadi tanpa mengganggu bentuk permukaan bumi.
Siri akhir esok mengupas ciri-ciri pelancongan yang ditawarkan di setiap enam lokasi pelancongan tersebut.


KOMBINASI sungai dan hutan jadi tapak sesuai perkemahan pengakap.




TAMAN rekreasi yang mengekalkan pohon kayu semulajadi bakal jadi tapak uji kemahiran pengakap.

SUKIM memberi taklimat kepada Philip dan Justina mengenai mini resort yang diusahakannya.

PENGAKAP boleh melakukan aktiviti ‘flying fox’ di tempat ini.


JULIUS (kiri) bersama Belia Pamilaan Villa tunggak melestari destinasi pelancongan. 

Keratan akhbar Utusan Borneo edisi 11 Mac 2014

1 comment:

Unknown said...

Sgt menarik..moga sentiasa maju jaya

 
 
Blogger Templates