Ads 468x60px

Labels

Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Thursday, February 20, 2014

Menanam padi sekadar meneruskan tradisi ‘mitatabang’

Menanam padi sekadar meneruskan tradisi ‘mitatabang’

Oleh HENRY BATING

PETANI mengangkat padi dari sawah untuk 
dimuatkan dalam kereta
PENANAMAN padi yang menjadi sumber utama sebahagian petani di Sabah suatu ketika dahulu kini kelihatan umpama pekerjaan sambilan sekadar memenuhi guna tanah dan melestarikan warisan tradisi ‘mitatabang’.
Kerja bersawah dilakukan bermula tengah hari selepas menoreh getah atau sehari suntuk ketika malam sebelumnya hujan membasahi pokok getah sehingga tidak mengizinkan kerja menoreh. Kerja bersawah yang melibatkan beberapa musim penanaman dilakukan secara ‘mitatabang’ atau gotong-royong dari sebuah keluarga ke keluarga lain.

Tiada elemen komersil dalam kerja penanaman padi meskipun melibatkan kawasan beberapa ekar. Tiada penggajian tenaga kerja dibuat, juga tiada jentera digunakan. Semua kerja dilakukan secara tradisi dengan mewujudkan kelompok ‘mitatabang’. Hasil padi diraih bukan untuk jualan tapi untuk simpanan bagi keperluan sendiri.

Itulah gambaran usaha penanaman padi yang ditinjau di kalangan penduduk Kg Pamilaan, 22km dari Pekan Tenom. Dalam ‘mitatabang’ wujud hubungan rapat, saling berbahagi cerita, bertukar kisah lucu dan yang paling penting berbahagi kerja untuk diselesaikan, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Kalangan peserta ‘mitatabang’ dapat bergerak pantas dari sawah ke sawah yang lain. Ada di kalangan mereka menunggang motosikal dan ramai juga yang memandu kenderaan. Penduduk mengangkat padi dari sawah untuk dibawa ke ‘torutip’ atau stor penyimpanan padi menggunakan motosikal atau kenderaan. Seperti biasa, menjelang senja mereka berkumpul di rumah pemilik sawah untuk makan dan minum bersama.
Julian Kayug, 62, yang mengadakan ‘mitatabang’ pada Rabu menyatakan kerja penanaman padi tidak menjadi sumber pendapatan bagi penduduk kampungnya. Penduduk menoreh getah untuk memperoleh sumber pendapatan dan hasil padi dari sawah sekadar untuk mendapatkan bekalan beras dan yang paling penting dapat menikmati ‘parai wagu’ atau beras baru.

“Dalam keluarga saya, kami membahagi-bahagikan pajak atau lot kebun getah di kalangan anak-anak untuk ditoreh. Saya bersama isteri mempunyai pajak sendiri. Kami ada pilihan untuk menjual susu getah setiap hari atau menjual kepingan setiap minggu atau pada bila-bila masa kami mahu kerana ejen pembeli getah begerak di kampung hampir setiap hari. Saya tidaklah turun menoreh getah pada setiap hari. Kebiasaannya dalam tiga atau empat hari menoreh seminggu,” kata Julian.

Tinjauan pendapatan penoreh getah dalam keadaan harga yang kurang memberangsangkan sekarang menunjukkan, rata-rata mereka masih mampu memperoleh sekitar RM100 setiap kali turun menoreh. Justeru, tidak menghairankan setiap keluarga memiliki kenderaan atau motosikal dan Julian sendiri mampu membiayai pengajian anaknya yang sudah lulus dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan seorang lagi sedang menuntut di universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kalangan belia yang turut serta dalam ‘mitatabang’ juga menunjukkan rata-rata mereka berkelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malahan terdapat graduan universiti dan mereka sama ada bekerja menoreh getah ataupun memiliki pekerjaan tetap di sektor awam dan swasta.

Elip Masuning, 64, menceritakan bahawa kampung mereka seperti juga kampung-kampung lain sudah mengalami perubahan yang besar berbanding 20 tahun lalu.
“Pada ketika itu (akhir 1980-an) tidak banyak kereta yang bergerak di kampung ini. Jika ada kereta masuk, maka dengan hanya mendengar deruan bunyi kenderaan itu, kita sudah tahu siapakah kenderaan yang masuk. Tapi sekarang, kereta penduduk yang lalu-lalang setiap masa semakin tidak dikenali, jangankan dengan mendengar bunyi deru kenderaan, kita tengok kereta itupun kita tidak kenal siapa pemiliknya,” kata Elip lulusan sekolah mubaligh yang fasih berbahasa Inggeris.
Kelompok ‘mitatabang’ pada kebiasaannya hanya melibatkan beberapa buah keluarga bagi mempercepatkan giliran bergotong-royong dari sawah ke sawah.

BERGERAK di sawah padi menunggang motosikal

MENAMPI padi mengasingkan sekam. Kelihatan Julian (kanan) dan Elip (kedua kiri

MENGUMPULKAN padi di tengah sawah

MURID sekolah pulang menaiki kenderaan pacuan empat roda merentas sawah bendang

SUASANA ‘mitatabang’ menuai padi

ANAK kecil turut menyumbangkan tenaga mengumpul padi yang dituai

Oleh : Henry Bating
Rencana 13/2/2014


Tuesday, February 4, 2014

Serpihan Bangkai Kapal Perang Dunia Kedua di Lindopon Tepoh (10 Gambar)


Meninjau lokasi ini pada1 februari 2014 bersama lebih 20 peserta lain dengan diketuai oleh saudara Henry Bating cukup memberikan pengalaman berharga serta mengujakan buat semua peserta. Manakan tidak, bukan semua pengunjung termasuk penduduk kampung berpeluang mengunjungi lokasi kejadian ini yang terletak kira-kira 3-4km daripada kawasan kampung(Lindopon). Walau bagaimana pun,rombongan peserta terpaksa mengambil masa lebih sejam setengah (1 jam 30minit) untuk sampai ke lokasi ini. Hal ini kerana, perjalanan berbukit bukau, cerun tinggi serta hutan tebal menyukarkan peserta mempercepatkan langkah perjalanan. Ditambah pula dengan penyertaan beberapa peserta kecil berumur sekitar 5-10 tahun.

Menurut 'Guider' yang mengiringi tinjauan ini,terdapat beberapa jalan yang boleh dilalui untuk sampai ke lokasi ini, ketika perjalanan menuju ke lokasi ini,kami melalui laluan pertama yang mempunyai cerun tinggi,sempit,berbatu licin termasuk menyusuri anak sungai. Laluan ini sangat sesuai bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak serta ingin menguji ketahanan fizikal. Manakala perjalanan kembali ke kawasan kampung, kami melalui denai yang agak mudah serta luas dan cuma mengambil masa lebih kurang 50minit.

Tujuan tinjauan ini dilakukan untuk mengenalpasti lokasi kejadian sebenar kerana lokasi ini termasuk dalam perancangan atau usaha untuk menjadikan tempat ini sebagai satu lokasi pelancongan di masa akan datang. Walaupun masih dalam perancangan, cadangan ini turut mendapat sokongan orang yang bergiat aktif menguruskan serta mengenalpasti produk pelancongan di Sabah, Encik Chinly Moniu yang juga turut serta dalam tinjauan ini. 

Terdapat beberapa perkara yang perlu diusahakan sebelum mewartakan lokasi ini sebagai salah satu lokasi pelancongan di kampung ini termasuk perbincangan dengan pihak Taman-taman Sabah untuk memberikan konsesi penjagaan kepada penduduk kampung. Hal ini kerana lokasi ini termasuk dalam kawasan Hutan Simpan negeri Sabah. Turut serta dalam tinjauan ini ialah Ketua Kampung Tepoh,En Taimin Majingi, dan saudara Hasmin Azroy Abdullah,juga seorang yang sedang bergiat aktif dalam ekopelancongan.

Sepintas Lalu berkenaan serpihan Kapal Perang ini.


Merupakan tinggalan sejarah yang sangat berharga semasa era perang Dunia ke-2. Kapal perang jenis “Brewster F2A Buffalo Fighter Planes” ini digunakan oleh tentera British untuk membebaskan Sabah daripada penjajahan Jepun 1942-1945. Kapal ini terhempas di Kg. Lindopon Ulu Tipoh, Tenom dalam antara tahun 1942-1945 setelah mengalami kerosakan teruk akibat ditembak oleh tentera Jepun. Menurut fakta lisan daripada penduduk di Kg. Lindopon Ulu Tipoh,  kapal ini dipercayai ditembak di Mengkalias, Tenom sebelum terhempas di lokasi kejadian akibat kerosakan enjin yang teruk.


Penduduk membayangkan kapal perang ini meletup dengan sangat dahsyat berikutan penemuan hanya serpihan-serpihan kecil bahagian bangkai yang ditemui, seperti enjin, sayap (Wing Loading), rim, senjata (Machine Gun) dan banyak lagi. Gambar menunjukkan lokasi kejadian dan sebahagian daripada rangka-rangka kapal di tempat kejadian.























Aksi Pengunjung













Oleh: Joe Milan

Gambar: Rick Marthel dan Randy Saimon

Friday, March 30, 2012

Penduduk Berharap Pembaikkan Jalan Lologubon Disegerakan

Penduduk kampung Pamilaan khususnya yang tinggal di kawasan Lologubon berharap agar pembikinan jalan yang menghubungkan Lologubon dan Pamilaan tengah dapat dibina dengan kadar segera. Hal ini kerana jalan sepanjang kira-kira 500m itu terbukti mampu memendekkan jarak perhubungan antara dua tempat ini. Pada masa kini, cuma satu jalan yang lazimnya digunakan oleh penduduk kampung disini iaitu sepanjang 3km. Maka dengan penyelengaraan jalan serta pembinaan 'culvert' di kawasan jalan ini semestinya memberi manfaat besar kepada seluruh penduduk kampung di sini. Jalan sepanjang 500m ini meliputi laluan ke Tanah perkuburan Islam dan Kristian.
Pada masa kini, pembinaan 'culvert' serta penyelengaraaan jalan di kawasan ini sudah pun di mulakan namun, kebelakangannya dilihat terbengkalai dan tidak disiapkan sepenuhnya. Hanya motorsikal sahaja yang dapat melalui jalan ini dan tidak kepada kenderaan lain. Penduduk kampung yang inginkan penjelasan berkaitan dengan penyelengaraan jalan ini tidak tahu ke mana harus mengadukan persoalan ini memandangkan kontraktor projek tersebut tidak meletakkan papan tanda di tapak projek tersebut.

Tinjauan rambang yang dibuat kepada lebih 20 orang responden di kampung ini, iaitu melalui bual bicara secara spontan minggu lepas, menunjukkan 100 peratus mengakui penyelengaraan jalan ini sememangnya mampu memberikan manfaat besar kepada penduduk kampung Lologubon khususnya. Namun terdapat dua pendapat yang diberikan oleh penduduk kampung iaitu yang menyokong penuh dan menyokong namun bersyarat.

Penduduk kampung kampung yang menyokong penuh pembinaan 'culvert' dan penyelengaraan jalan di kawasan ini sememangnya sudah melihat akan satu kebaikan yang dapat digunapakai bersama kelak. tanpa sebarang bantahan Bagi penduduk kampung yang menyokong dengan bersyarat, mereka meminta agar sebelum jalan tersebut dibuka, semua pagar dawai yang terdapat di kawasan 'paun' perlu diselanggara terlebih dahulu. Selain itu, pembinaan pintu pagar di kawasan culvert  tersebut juga perlu di buat terlebih dahulu. Hal ini kerana kebimbangan mereka akan keselamatan serta kes kecurian haiwan ternakan (lembu,kerbau) yang semakin menjadi-jadi. Menurut mereka, keadaan jalan ini adalah sunyi dan membimbangkan. Kebimbangan mereka ini lebih merujuk kepada keselamatan haiwan ternakan mereka namun mengakui pembinaan jalan di kawasan ini sememangnya satu usaha yang baik.Namun menurut seorang bekas pemimpin di kampung ini, terdapat masalah lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kenderaan dibenarkan melelui culvert tersebut, di mana pagar dawai sejauh tiga rantai (200 kaki) perlu di buka dan dicantumkan ke tepi pintu pagar kiri dan kanan culvert terbabit.

Maka dengan itu penduduk kampung amat berharap agar penyelengaraan jalan Pamilaan Tengah- Lologubon ini dapat disiapkan secepat mungkin setelah mengambil kira keperluan serta syarat yang diberikan demi keselesaan bersama.


Laluan yang hanya dapat dilalui oleh motorsikal


Pemandangan Culvert yang belum siap sepenuhnya





Oleh Joe Milan
Freelance Journalist

Thursday, March 1, 2012

Jalan Rosak Dan Berlubang di Kampung Pamilaan Dibaiki

Kampung Pamilaan, Tenom- Beberapa jalan rosak dan berlubang di sepanjang jalan Kampung Pamilaan kini sudah pun dipulihkan. Sebelum ini, keadaan jalan tersebut mengundang terlalu banyak rungutan dalam kalangan penduduk kampung yang menyatakan jalan tersebut tidak pernah diselenggara sejak projek jalan tersebut siap sepenuhnya pada akhir 2008.

Terdapat faktor yang dapat dinyatakan disini, telah menyebabkan jalan tersebut rosak serta berlubang. Seperti umum mengetahui, jumlah had muatan yang boleh melalui jalan tersebut harus tidak melebihi daripada 5 tan. Namun kehadiran beberapa lori balak, lori pasir dan sebagainya keluar masuk dengan had muatan yang berlebihan menyebabkan terdapat beberapa bahagian jalan menjadi mendap. Tanah mendap tersebut telah mengakibatkan jalan raya membentuk satu lubang di tengah jalan dan akan menakung air sekiranya hari hujan. Proses tersebut yang berterusan mengakibatkan jalan raya semakin rosak dan sukar dilalui terutama sekali kepada kenderaan yang bersaiz kecil. Perkara inilah yang terjadi di beberapa bahagian jalan Kampung Pamilaan dengan 3 bahagian yang dapat dikenalpasti iaitu tanah mendap tepat berhampiran dengan rumah En. Albert Karang, En.Usip Gansilau dan satu bahagian lagi berlaku di bahagian selekoh tajam 'Kiabal'. Adalah menjadi tanggungjawab pengurusan kampung termasuk Ketua Kampung serta JKKK untuk mengawal kemasukan lori-lori tersebut keluar masuk di kampung demi menjaga kualiti jalan di kampung ini.

Kini, ketiga-tiga bahagian yang dinyatakan di atas sudah pun di baiki oleh pihak JKR hasil usaha yang dilakukan oleh PKR En Balasius Masuning mendesak pihak bertanggungjawab tersebut melakukan selenggaraan pada jalan tersebut. Desakan tersebut juga datang hasil suara penduduk kampung melalui LAPORAN INI..Terima Kasih, syabas kepada PKR atas usaha tersebut dan sebagai penduduk kampung di Pamilaan apa yang penting adalah hak serta keselesaan seluruh penduduk terbela. Penduduk kampung yang ditemui bersyukur dengan langkah yang diambil, dan lebih berbesar hati sekiranya lebih banyak lagi pembangunan dalam apa juga bentuk termasuk pembaikan, penaiktarafan, serta infrastruktur dilakukan di kampung ini demi kesejahteraan bersama.

Keadaan jalan selepas dibaiki

Sebelum dibaiki


-Gambar selebihnya akan di publish kemudian.

Oleh Joe Milan
 
 
Blogger Templates