Menanam padi sekadar
meneruskan tradisi ‘mitatabang’
Oleh HENRY BATING
PETANI mengangkat
padi dari sawah untuk
dimuatkan dalam kereta
|
PENANAMAN padi yang
menjadi sumber utama sebahagian petani di Sabah suatu ketika dahulu kini
kelihatan umpama pekerjaan sambilan sekadar memenuhi guna tanah dan
melestarikan warisan tradisi ‘mitatabang’.
Kerja bersawah
dilakukan bermula tengah hari selepas menoreh getah atau sehari suntuk ketika
malam sebelumnya hujan membasahi pokok getah sehingga tidak mengizinkan kerja
menoreh. Kerja bersawah yang melibatkan beberapa musim penanaman dilakukan
secara ‘mitatabang’ atau gotong-royong dari sebuah keluarga ke keluarga lain.
Tiada elemen komersil
dalam kerja penanaman padi meskipun melibatkan kawasan beberapa ekar. Tiada
penggajian tenaga kerja dibuat, juga tiada jentera digunakan. Semua kerja
dilakukan secara tradisi dengan mewujudkan kelompok ‘mitatabang’. Hasil padi
diraih bukan untuk jualan tapi untuk simpanan bagi keperluan sendiri.
Itulah gambaran usaha
penanaman padi yang ditinjau di kalangan penduduk Kg Pamilaan, 22km dari Pekan
Tenom. Dalam ‘mitatabang’ wujud hubungan rapat, saling berbahagi cerita,
bertukar kisah lucu dan yang paling penting berbahagi kerja untuk diselesaikan,
yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.
Kalangan peserta
‘mitatabang’ dapat bergerak pantas dari sawah ke sawah yang lain. Ada di
kalangan mereka menunggang motosikal dan ramai juga yang memandu kenderaan.
Penduduk mengangkat padi dari sawah untuk dibawa ke ‘torutip’ atau stor
penyimpanan padi menggunakan motosikal atau kenderaan. Seperti biasa, menjelang
senja mereka berkumpul di rumah pemilik sawah untuk makan dan minum bersama.
Julian Kayug, 62,
yang mengadakan ‘mitatabang’ pada Rabu menyatakan kerja penanaman padi tidak
menjadi sumber pendapatan bagi penduduk kampungnya. Penduduk menoreh getah
untuk memperoleh sumber pendapatan dan hasil padi dari sawah sekadar untuk
mendapatkan bekalan beras dan yang paling penting dapat menikmati ‘parai wagu’
atau beras baru.
“Dalam keluarga saya,
kami membahagi-bahagikan pajak atau lot kebun getah di kalangan anak-anak untuk
ditoreh. Saya bersama isteri mempunyai pajak sendiri. Kami ada pilihan untuk
menjual susu getah setiap hari atau menjual kepingan setiap minggu atau pada
bila-bila masa kami mahu kerana ejen pembeli getah begerak di kampung hampir
setiap hari. Saya tidaklah turun menoreh getah pada setiap hari. Kebiasaannya
dalam tiga atau empat hari menoreh seminggu,” kata Julian.
Tinjauan pendapatan
penoreh getah dalam keadaan harga yang kurang memberangsangkan sekarang menunjukkan,
rata-rata mereka masih mampu memperoleh sekitar RM100 setiap kali turun menoreh.
Justeru, tidak menghairankan setiap keluarga memiliki kenderaan atau motosikal
dan Julian sendiri mampu membiayai pengajian anaknya yang sudah lulus dari
Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan seorang lagi sedang menuntut di
universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kalangan belia yang
turut serta dalam ‘mitatabang’ juga menunjukkan rata-rata mereka berkelulusan
sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malahan terdapat graduan
universiti dan mereka sama ada bekerja menoreh getah ataupun memiliki pekerjaan
tetap di sektor awam dan swasta.
Elip Masuning, 64,
menceritakan bahawa kampung mereka seperti juga kampung-kampung lain sudah
mengalami perubahan yang besar berbanding 20 tahun lalu.
“Pada ketika itu
(akhir 1980-an) tidak banyak kereta yang bergerak di kampung ini. Jika ada
kereta masuk, maka dengan hanya mendengar deruan bunyi kenderaan itu, kita
sudah tahu siapakah kenderaan yang masuk. Tapi sekarang, kereta penduduk yang
lalu-lalang setiap masa semakin tidak dikenali, jangankan dengan mendengar
bunyi deru kenderaan, kita tengok kereta itupun kita tidak kenal siapa
pemiliknya,” kata Elip lulusan sekolah mubaligh yang fasih berbahasa Inggeris.
Kelompok ‘mitatabang’
pada kebiasaannya hanya melibatkan beberapa buah keluarga bagi mempercepatkan
giliran bergotong-royong dari sawah ke sawah.
BERGERAK di sawah
padi menunggang motosikal
|
MENAMPI padi mengasingkan sekam. Kelihatan Julian (kanan) dan Elip (kedua kiri |
MENGUMPULKAN padi di
tengah sawah
|
MURID sekolah pulang menaiki
kenderaan pacuan empat roda merentas sawah bendang
|
SUASANA ‘mitatabang’
menuai padi
|
ANAK kecil turut menyumbangkan
tenaga mengumpul padi yang dituai
|
Oleh : Henry Bating
Rencana 13/2/2014
No comments:
Post a Comment