Ads 468x60px

Tuesday, January 26, 2016

Ambrose Mudi: Seniman Agung Kadazandusun tinggalkan legasi seni muzik

Oleh HENRY BATING


ALLEN Max mengepos ke dalam Facebook jam 11.33 pagi 24 Jan 2016. Hari itu adalah Ahad dan Allen meminta semua kenalan ayahandanya, Ambrose Mudi untuk mendoakan kesembuhan seniman Kadazandusun itu yang baru dimasukkan ke bahagian kecemasan Hospital Keningau kerana serangan jantung.

“Keadaannya (ayah) sekarang stabil tapi hanya boleh bercakap dan bergerak sedikit sahaja,” catat Allen yang juga penggiat seni suara dan seni muzik.
Kira-kira 7.00 pagi Isnin, 25 Jan 2016, Allen mengepos lagi memohon kepada rakan-rakan dan kenalan mendoakan kesembuhan segera bagi ayahnya, Ambrose Mudi. Tapi belum tiga jam kemudian menjelang 10.00 pagi, Allen mengepos berita duka.
“Terima kasih atas doa-doa kalian untuk bapa saya Ambrose Mudi sejak kelmarin. My dad, the legendary singer yang popular dengan lagu-lagu Kada Lihuai Janji Toh, Aiso Koruhang Modop, Kada Mombit-Kombit, Nung Noilaan Ku has passed away peacefully this morning at Hospital Keningau. His 65th birthday was just three days ago,” catat Allen.
Kira-kira 2.30 petang, Allen mengepos bahawa jasad ayahnya sudah berada di rumah mereka di Kg Galiung, Tambunan tepatnya di suatu lereng puncak SMK Nambayan, sekolah menengah di mana Ambrose Mudi pernah menjadi Pengetua (1992-1998).

Perkhabaran Ambrose sudah semestinya menjadi perhatian kami kerana baru kelmarin dulu, 23 Jan 2016, bersamaan Sabtu, 9.03 pagi, Ambrose Mudi menghantar pesanan Whatsapp kepada penulis menyatakan mengenai buku autobiografinya yang sedang kami susun.
Ambrose telah meletakkan sasaran Kaamatan Mei 2016 untuk melancarkan buku autobiografinya. Dalam pesanan itu Ambrose telah menyebutkan nama-nama yang sebaiknya hadir ketika pelancaran itu. Majlis pelancaran itu telah dijadualkan dikendalikan anaknya, Lisa Sabrina.
Pesanan itu adalah rentetan daripada pertemuan penulis dengan Ambrose Mudi di kediaman ladangnya di Kemabong 1 Jan 2016. Selepas bersara dari perkhidmatan pendidikan dengan jawatan terakhir Pengetua SMK Kemabong, Ambrose menjalankan usaha agrobisnes dan peruncitan.
Di samping Supermarket Mini Butitin yang menempati rumah kedai bertingkat, Ambrose dan keluarga turut mengusahakan ladang kelapa sawit, kolam rekreasi dan studio rakaman muzik yang telah menghasilkan banyak album kaset para penyanyi setempat.

Perjalanan hidup Ambrose Mudi (1951-2016) telah diabdikan sepenuhnya dalam pembangunan seni suara, seni muzik dan pemartabatan peralatan seni muzik tradisi pelbagai etnik di Sabah khususnya Kadazandusun. Ambrose Mudi adalah seniman yang berkerjaya sebagai guru. Malahan deretan pencapaian Ambrose Mudi selama hidupnya telah meletakkan Ambrose sebagai seniman yang teragung setakat ini dalam kalangan masyarakat Kadazandusun.
Ambrose Mudi merupakan Johan Bintang Remaja Kota Kinabalu 1972, memimpin kumpulan vokal ‘Rustproof Sepecies’ yang mewakili Sabah dalam Pertandingan Bintang RTM di Angkasa Puri, Kuala Lumpur (1980) dan pembimbing yang telah mengangkat bakat seni muzik dan seni suara bintang legenda bersuara emas, Datuk John Gaisah (mendiang).
Penggiat dan peminat seni suara Sabah era 1970-an dan 1980-an sudah pasti mengingati nama Ambrose Mudi, tokoh seni yang berasal dari Tambunan ini.

Dalam majlis rasmi, Ambrose Mudi merupakan penggubah lagu tema bertajuk ‘Selamat Hari Jadi’ untuk Sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah (1987). Ambrose Mudi juga adalah Penerima Anugerah ‘Kembara Muzik’ Sabah yang telah disampaikan YAB Ketua Menteri Datuk Musa Haji Aman (2011) di Auditorium Yayasan Sabah.
Di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Ambrose Mudi mewakili Malaysia ke Simposium of The International Musicology Society and Festival of Music di Melbourne, Australia (28 Ogos – 2 September 1988). Ambrose Mudi membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Sompoton’.

Ambrose Mudi juga mewakili Malaysia ke Asian Music Conference di Tokyo, Jepun atas jemputan Japan Foundation. Di persidangan itu, Ambrose Mudi diminta memperkenalkan alat muzik Sompoton dan alat-alat muzik tradisi lain dari Malaysia
Menyusul persidangan itu, Ambrose Mudi kemudian terpilih menyertai Asia-Pacific Institute for Broadcasting  Development (AIBD) untuk mengikuti Kursus Penerbitan TV Pendidikan. Kursus itu dijalankan di Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR), Jalan Ampang, Selangor 15 September – 7 November 1980.
       Ambrose Mudi yang lahir di Kg Daar, Tambunan 22 Januari 1951 merupakan artis pertama merakamkan lagu dalam dialek Dusun. Ambrose Mudi juga adalah penyanyi Kadazandusun pertama membuat persembahan secara langsung di televisyen RTM. Ambrose Mudi muncul sebagai penyanyi Top Dusun 1970-76 berdasarkan sambutan pendengar melalui siaran radio Kadazan, jualan piring hitam dan kaset serta jemputan pelbagai penganjur ke pertunjukan konsert.
Namun kejayaan manis dalam usia awal 20 tahun itu dicapai dengan keringat, keazaman dan kesungguhan. Ketika itu, jalan raya Penampang – Tambunan baru sampai ke Gunung Emas, yakni pertengahan perjalanan antara dua daerah bersebelahan itu.

Pada ketika itu, Ambrose Mudi baru memulakan profesi guru di St David Primary School Toboh, Tambunan sebelum memasuki Maktab Perguruan Gaya Kota Kinabalu (1971-72). Ambrose terpaksa berjalan kaki mudik ke hulu kira-kira tiga jam dari Kg Sunsuron, Tambunan ke Gunung Emas.
Dari Gunung Emas ke Kasigui, Penampang terdapat kenderaan berkala yang boleh dinaiki para penumpang. Di ibu negeri, Ambrose dibimbing oleh mentornya Datuk Justin Stimol yang merupakan penyanyi Top Kadazan pada ketika itu. Melalui Justin, Ambrose memulakan langkah ke studio RTM.
Selesai pengajian maktab dengan pengkhususan pengajian seni muzik, Ambrose Mudi ditempatkan bertugas di SMK Pekan Tambunan (1972-75). Kemudian dipindahkan ke SMK Sipitang (1976-78). Selepas itu Ambrose Mudi ditempatkan di Bahagian Sebaran Pendidikan di Kota Kinabalu.
Demi meningkatkan pengetahuan dalam bidang pendidikan seni muzik, Ambrose Mudi kemudian ditawarkan mengikuti Pengajian Diploma Seni Muzik di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras (1978).

Empat tahun kemudian, Ambrose Mudi ditawarkan cuti bergaji dengan biasiswa Kerajaan Persekutuan untuk menempuh pengajian Pendidikan Seni Muzik Peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana (Master) di Southern Illinois University at Carbondale Illinois USA.
Sekembali dari Amerika, Ambrose Mudi dilantik menjadi Penolong Pengarah Pendidikan (Unit Seni dan Rekreasi) 1986-91.

Ambrose Mudi menjadi panel penggubalan kurikulum pendidikan muzik, melatih guru-guru dan membentuk kumpulan koir di banyak sekolah. Di samping itu Ambrose Mudi berjaya memuatkan unsur-unsur budaya muzik tempatan Sabah ke dalam silibus Pendidikan Muzik di sekolah-sekolah di Malaysia.

Ambrose Mudi menjadi pengasas kepada Sugandoi Kaamatan dan irama rentak gong Sumazau dalam lagu-lagu ciptaannya telah menjadi ikutan kepada ramai penggubah lagu tempatan sehingga sekarang.
Ambrose Mudi dikurniai tujuh anak hasil perkahwinan dengan Wong Lee Lee @ Lily dan Emilda Lee Kong Sang. Anak sulong ialah Linda, diikuti Andrew @ Atama, Arnold, Lisa, Allen, Aldrin Aeron @ Kandawai dan Amanda Avril @ Sunsulit.





Piring Hitam oleh Ambrose Mudi
Dengan izin,
Oleh HENRY BATING.
 
 
Blogger Templates