Ads 468x60px

Thursday, February 27, 2014

Tradisi Mongoi Panau - Warisan jalinan kasih sayang dan persaudaraan


Oleh HENRY BATING


PENGANTIN perempuan diring keluar dari rumah 
keluarganya untuk diarak ke rumah pengantin lelaki
TRADISI ‘mongoi panau’ dalam adat perkahwinan masyarakat Dusun di pedalaman memberikan signifikan terhadap hubungan persaudaraan antara dua keluarga pasangan berkahwin. ‘Mongoi panau’ dalam pengertian secara gramatikal bermaksud ‘rombongan pergi menjemput pengantin perempuan diarak ke rumah pengantin lelaki’. Namun demikian proses ‘mongoi panau’ tidak semudah seperti yang digambarkan oleh frasa itu.

‘Mongoi panau’ melibatkan beberapa rombongan lelaki datang ke rumah pengantin perempuan untuk tujuan menjemput pengantin berkenaan ke rumah lelaki. Keluarga pengantin perempuan yang dalam istilah ‘polintuhun’ atau mengizinkan anak gadis mereka dikahwini lelaki pilihan dan seterusnya bersatu dengan keluarga lelaki mengenakan beberapa fasa upacara bagi melambat-lambatkan masa ‘polintuhun’.

PENGANTIN perempuan disambut suami dan diraikan penuh gambira bagi 
menandakan seorang ahli keluarga baru sudah datang ke tengah-tengah lingkungan keluarga lelaki

Upacara yang diisi menghadap hidangan bersama dan saling berkenalan antara ahli keluarga dan sanak saudara kedua belah pihak secara tersiratnya menunjukkan rasa hati keluarga perempuan yang terlalu sukar untuk melepaskan anak gadis mereka menjadi milik keluarga lelaki. Setelah perkahwinan itu, segala kapasiti anak gadis dalam keluarga ibu bapanya akan beralih ke keluarga lelaki. Segala tenaga, kerajinan, kepakaran dan keistimewaan anak gadis itu akan beralih ke lingkungan keluarga suami.

Rombongan ‘mongoi panau’ yang datang ke rumah pengantin perempuan didahului kumpulan ‘mongoi pamampang’. Rombongan itu berperanan memberi isyarat kepada keluarga perempuan bahawa menyusul mereka sedang bergerak rombongan ‘mongoi panau’ yang berperanan mengajak pengantin perempuan ke rumah lelaki.

Pengantin perempuan akan berada di dalam bilik diiringi para sahabat ‘umpama dayang-dayang’ sementara rombongan mongoi panau diraikan. Setelah melewati pelbagai upacara, barulah rombongan ‘mongoi panau’  dibenarkan mengetuk pintu bilik, masuk bilik dan menarik tangan pengantin perempuan untuk ‘lumintuhun’ atau untuk pengantin itu mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya.

PERSANDINGAN tradisi Jackson Jasri dan Mery Angel


Dalam upacara yang lebih tersusun, pertama sekali rombongan ‘mongoi panau’ disambut di halaman rumah sambil bersapa-sapaan menggunakan bahasa tersirat dan berbunga-bunga. Di halaman rumah itu juga dihulurkan minuman tradisi sebelum dibenarkan naik ke rumah. Sampai di pintu rumah, sedia menanti satu benteng menghulur hidangan makanan dan minuman sebelum dibenarkan masuk. Kadang kala peringkat itu memakan masa sehingga beberapa puluh minit sebelum mendapat laluan masuk ke dalam rumah dan bersembang di ruang tamu.
Di ruang tamu, ahli keluarga dan sanak saudara pengantin perempuan meraikan rombongan ‘mongoi panau’ dengan hidangan. Dalam suasana itu, kenal-mengenali antara kedua belah pihak keluarga berlaku. Kedua belah pihak dapat mengenal jalinan persaudaraan hasil perkahwinan itu. Maka tahulah mereka yang mana satu ‘amod’ (besan), ‘iwan’ (mentua), ‘ipag’ (ipar antara lelaki), ‘along’ (ipar antara perempuan), ‘soruwoi’ (pasangan masing-masing kepada dua adik-beradik) dan seumpamanya.

ANTARA set hidangan yang disajikan kepada rombongan ‘mongoi panau’


Pihak tuan rumah pada hakikatnya mahu melambat-lambatkan pemberian keizinan kepada pengantin perempuan untuk diarak ke rumah lelaki. Perkara itu dilakukan kerana suasana berkenaan merupakan sesuatu yang amat menyedihkan bagi mereka. Justeru, ahli-ahli rombongan ‘mongoi panau’ dengan segala daya upaya berusaha mahu melewati peringkat-peringkat sajian yang disediakan oleh keluarga pengantin perempuan. Selesai majlis beramah-mesra di ruang tamu, tatkala ahli rombongan ‘mongoi panau’ mahu mengetuk dan memasuki bilik bagi menjemput pengantin perempuan, satu peringkat hidangan lagi disajikan di pintu bilik.

Jika dilihat peringkat-peringkat sajian makanan dan minuman yang diberikan, kelihatannya kurang masuk akal dan tidak manusiawi menurut pandangan mata zaman sekarang. Tapi itu bukan tafsirannya. Justeru, menyusul rombongan ‘mongoi ahau’ atau pergi membantu rombongan pertama untuk melewati peringkat-peringkat hidangan. Rombongan ‘mongoi ahau’ akan membantu rombongan pertama untuk menghadapi hidangan-hidangan bagi melemahkan benteng-benteng yang telah disediakan dan berusaha ‘merebut’ pengantin perempuan diarak ke rumah pengantin lelaki.

AHLI rombongan ‘mongoi panau’ yang harus melewati pelbagai rintangan
 untuk menjemput pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki


Menyusul rombongan ‘mongoi ahau’ adalah rombongan ‘mongoi babo’ yang berperanan membantu ahli rombongan terdahulu ‘merebut’ pengantin perempuan. Rombongan ini juga mahu mempastikan tiada mana-mana ahli rombongan tertinggal di rumah keluarga perempuan tatkala pengantin diarak dengan penuh ‘kemenangan’ diiringi paluan gong dan ‘pangkis’ (teriakan kegembiraan) ke rumah lelaki.

Setiba di rumah pengantin lelaki, pengantin perempuan diterima dengan penuh kemesraan, kegembiraan dan kebanggaan kerana seorang ahli keluarga baru sudah datang ke tengah-tengah mereka. Ahli-ahli rombongan juga diraikan dengan penuh kesyukuran di atas susah payah mereka melepasi pelbagai benteng mengajak pengantin perempuan meninggalkan rumah keluarganya.

Tradisi ‘mongoi panau’ masih diamalkan penduduk Kg Pamilaan, Tenom dan pada 22 Februari lalu turut diadakan ketika perkahwinan antara Jackson Jasri dan Merry Angel Balou.

Keratan akhbar Utusan Borneo 27 Feb 2014

PENGANTIN perempuan menerima tanggungjawab pertama di rumah keluarga lelaki dengan memulakan sajian minuman kepada hadirin


Oleh HENRY BATING

Wednesday, February 26, 2014

Kesenian Homestay Pamilaan cerminan asal-usul Tambunan (Siri 3/4)

Siri 3

Oleh HENRY BATING

PUMPUWAK atau seruling pendek menghasilkan
 irama klasik dibunyikan oleh Balasius Darapan
MOGINAKAN atau pesta kesyukuran dengan ‘mangalap’ atau mengundang sanak-saudara serta sahabat handai dan rakan taulan dari dekat mahupun jauh untuk sama-sama meraikan kesyukuran diserikan pelbagai persembahan kesenian.
Inap-desa atau Homestay Pamilaan, Tenom yang mula menerima tetamu 1 Disember lalu telah menghadirkan persembahan kesenian di lima buah rumah tradisi yang terletak di lereng pinggir dataran tanah tinggi Lologubon.
Rombongan Mr Stanley P. Hill, mantan guru besar St Pius, Pamilaan (1962-1966) telah diraikan dengan irama ‘pumpuwak’ atau seruling pendek yang telah dibunyikan oleh Balasius Morudin Darapan.
Irama sompoton versi lagu-lagu moden yang telah dibunyikan oleh seorang belia, Clarence Elip turut mengalu-alukan rombongan Stanley dari Tambunan. Tidak ketinggalan menyambut tetamu ialah seorang warga emas, Pius Bansau Dangil yang memperdengarkan bunyi ‘tongkungon’ dengan irama gong sumazau di rumah Narantai.
Di rumah Lologubon, rombongan tetamu disambut oleh paluan gong Penampang berirama sumazau. Demikian juga di halaman rumah Tobobon, rombongan tetamu dan orang ramai dihiburkan dengan paluan gong. Pada halaman yang rimbun dan dingin itu, irama gong sumazau telah menggamit perasaan pengunjung untuk turut serta bersumazau.
Melengkapi bunyi-bunyian tradisi, suara harmoni koir turut mengalu-alukan tetamu di rumah Misompuru, rumah Lologubon dan rumah Narantai. Lagu-lagu yang didendangkan dengan iringan gitar merupakan ciptaan yang melambangkan serta menceritakan tentang identiti rumah masing-masing.

Kanak-kanak bawah 10 tahun turut mengambil ruang di hadapan rumah bagi menyambut tetamu dengan alu-aluan serta ‘bercerita beramai-ramai’ dalam bahasa Kadazandusun. Sapaan dan taklimat kepada rombongan tetamu turut disampaikan dalam dialek tempatan.
Persembahan kesenian, alu-aluan dan corak sambutan di rumah-rumah Homestay Pamilaan menggambarkan latar belakang asal-usul penduduk kampung berkenaan yang 95 peratus berketurunan Kadazandusun.
Morudin, 60, menceritakan bahawa keseluruhan daripada kira-kira 500 penduduk di kampung itu berasal dari Mukim Kirokot, Tambunan. Generasi pertama mula berhijrah kira-kira pada tahun 1940.

“Keadaan di kampung asal yang amat terpencil dan kurang subur telah mendorong penduduk dua kampung di Kirokot iaitu Kidalamas dan Bundusan untuk berpindah mencari tempat di mana rezeki mudah diperoleh,” kata Morudin.
Morudin menjelaskan, penghijrahan mereka adalah berjalan kaki melalui Keningau ke Melalap untuk bekerja di Ladang Getah British. Selain di Melalap, ada di kalangan penghijrah pergi bekerja di ladang getah di Sapong, Western Beaufort dan malahan sampai di Kawang, Papar.
“Lambat laun, ramai di kalangan mereka bertumpu di Melalap dan menjalinkan persaudaraan dengan penduduk setempat seperti keluarga OKK Sanggau bin Jalang,” kata Morudin sambil menambah bahawa hubungan rapat dengan penduduk setempat telah memungkinkan mereka berkampung di sekitar Ladang Getah Melalap seperti di Sumbiling, Pangalat, Ulu Tepoh dan Pamilaan.

Pamilaan kini adalah Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang memiliki kira-kira 700 pengundi. Kampung ini adalah satu-satunya kawasan luar bandar di Tenom yang terawal memperoleh kemudahan sekolah didirikan mubaligh hujung 1950-an.

Urusetia Persatuan Alumni St Pius yang mengendalikan pakej pelancongan di Pamilaan boleh dihubungi melalui 0198120553 (Stanly Leo), 0198830535 (Philip) dan 0195884535 (Justina). Siri terakhir paparan ini akan berkisar kepada upacara perasmian dan pendapat pelbagai pihak mengenai potensi pusat pelancongan itu.


IRAMA Sompoton versi lagu moden dibunyikan Clarence Elip

TONGKUNGON menyerupai memetik gitar menghasil rentak gong sumazau

STANLEY P. Hill diraikan dengan paluan gong di rumah Lologubon

PALUAN gong di halaman rumah Tobobon

SUASANA rimbun dan dingin di halaman rumah Tobobon menyegarkan jiwa seni

BELIA dengan lagu identiti rumah Lologubon

KOIR lagu identiti rumah Misompuru menyambut tetamu di halaman rumah tradisi

DUA generasi menikmati nasi linopot campur
Oleh HENRY BATING

Thursday, February 20, 2014

Menanam padi sekadar meneruskan tradisi ‘mitatabang’

Menanam padi sekadar meneruskan tradisi ‘mitatabang’

Oleh HENRY BATING

PETANI mengangkat padi dari sawah untuk 
dimuatkan dalam kereta
PENANAMAN padi yang menjadi sumber utama sebahagian petani di Sabah suatu ketika dahulu kini kelihatan umpama pekerjaan sambilan sekadar memenuhi guna tanah dan melestarikan warisan tradisi ‘mitatabang’.
Kerja bersawah dilakukan bermula tengah hari selepas menoreh getah atau sehari suntuk ketika malam sebelumnya hujan membasahi pokok getah sehingga tidak mengizinkan kerja menoreh. Kerja bersawah yang melibatkan beberapa musim penanaman dilakukan secara ‘mitatabang’ atau gotong-royong dari sebuah keluarga ke keluarga lain.

Tiada elemen komersil dalam kerja penanaman padi meskipun melibatkan kawasan beberapa ekar. Tiada penggajian tenaga kerja dibuat, juga tiada jentera digunakan. Semua kerja dilakukan secara tradisi dengan mewujudkan kelompok ‘mitatabang’. Hasil padi diraih bukan untuk jualan tapi untuk simpanan bagi keperluan sendiri.

Itulah gambaran usaha penanaman padi yang ditinjau di kalangan penduduk Kg Pamilaan, 22km dari Pekan Tenom. Dalam ‘mitatabang’ wujud hubungan rapat, saling berbahagi cerita, bertukar kisah lucu dan yang paling penting berbahagi kerja untuk diselesaikan, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Kalangan peserta ‘mitatabang’ dapat bergerak pantas dari sawah ke sawah yang lain. Ada di kalangan mereka menunggang motosikal dan ramai juga yang memandu kenderaan. Penduduk mengangkat padi dari sawah untuk dibawa ke ‘torutip’ atau stor penyimpanan padi menggunakan motosikal atau kenderaan. Seperti biasa, menjelang senja mereka berkumpul di rumah pemilik sawah untuk makan dan minum bersama.
Julian Kayug, 62, yang mengadakan ‘mitatabang’ pada Rabu menyatakan kerja penanaman padi tidak menjadi sumber pendapatan bagi penduduk kampungnya. Penduduk menoreh getah untuk memperoleh sumber pendapatan dan hasil padi dari sawah sekadar untuk mendapatkan bekalan beras dan yang paling penting dapat menikmati ‘parai wagu’ atau beras baru.

“Dalam keluarga saya, kami membahagi-bahagikan pajak atau lot kebun getah di kalangan anak-anak untuk ditoreh. Saya bersama isteri mempunyai pajak sendiri. Kami ada pilihan untuk menjual susu getah setiap hari atau menjual kepingan setiap minggu atau pada bila-bila masa kami mahu kerana ejen pembeli getah begerak di kampung hampir setiap hari. Saya tidaklah turun menoreh getah pada setiap hari. Kebiasaannya dalam tiga atau empat hari menoreh seminggu,” kata Julian.

Tinjauan pendapatan penoreh getah dalam keadaan harga yang kurang memberangsangkan sekarang menunjukkan, rata-rata mereka masih mampu memperoleh sekitar RM100 setiap kali turun menoreh. Justeru, tidak menghairankan setiap keluarga memiliki kenderaan atau motosikal dan Julian sendiri mampu membiayai pengajian anaknya yang sudah lulus dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan seorang lagi sedang menuntut di universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kalangan belia yang turut serta dalam ‘mitatabang’ juga menunjukkan rata-rata mereka berkelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malahan terdapat graduan universiti dan mereka sama ada bekerja menoreh getah ataupun memiliki pekerjaan tetap di sektor awam dan swasta.

Elip Masuning, 64, menceritakan bahawa kampung mereka seperti juga kampung-kampung lain sudah mengalami perubahan yang besar berbanding 20 tahun lalu.
“Pada ketika itu (akhir 1980-an) tidak banyak kereta yang bergerak di kampung ini. Jika ada kereta masuk, maka dengan hanya mendengar deruan bunyi kenderaan itu, kita sudah tahu siapakah kenderaan yang masuk. Tapi sekarang, kereta penduduk yang lalu-lalang setiap masa semakin tidak dikenali, jangankan dengan mendengar bunyi deru kenderaan, kita tengok kereta itupun kita tidak kenal siapa pemiliknya,” kata Elip lulusan sekolah mubaligh yang fasih berbahasa Inggeris.
Kelompok ‘mitatabang’ pada kebiasaannya hanya melibatkan beberapa buah keluarga bagi mempercepatkan giliran bergotong-royong dari sawah ke sawah.

BERGERAK di sawah padi menunggang motosikal

MENAMPI padi mengasingkan sekam. Kelihatan Julian (kanan) dan Elip (kedua kiri

MENGUMPULKAN padi di tengah sawah

MURID sekolah pulang menaiki kenderaan pacuan empat roda merentas sawah bendang

SUASANA ‘mitatabang’ menuai padi

ANAK kecil turut menyumbangkan tenaga mengumpul padi yang dituai

Oleh : Henry Bating
Rencana 13/2/2014


Monday, February 17, 2014

Homestay Pamilaan tawar suasana ‘moginakan’ kepada perantau (Siri 2/4)

Siri 2

Oleh HENRY BATING

Nasi linopot dengan pewarna keledek berlauk ikan, bunga 
papaya dan tuhau dengan penggunaan minyak terkawal
JIKA anda jauh di rantau dan terlepas banyak keramaian musim Kaamatan, suasana itu boleh anda putar balik dengan mengunjungi inap-desa (homestay) Pamilaan. Di lokasi desa lima buah rumah tradisional ini, pengunjung pasti dapat mengubat kerinduan menikmati sajian tradisional masyarakat Kadazandusun Murut dalam suasana ‘moginakan’ atau pesta.

Di homestay Pamilaan, pengunjung dapat mengimbas nostalgia kehidupan kampung kerana penduduk sedia mengalu-alukan pelawat dengan aktiviti ‘mirumoh-rumoh’ iaitu saling bertanya khabar, bercerita tentang pelbagai peristiwa dan saling berhibur ‘misudawil’ atau berteka-teki dan membunyikan muzik tradisional.
Nasi linopot dengan pewarna ubi manis mengandungi lauk ikan

Lokasi itu mudah dikunjungi kerana terletak hanya kira-kira 3km dari simpang lebuhraya sempadan Tenom-Keningau. Ketika dilancarkan pada Ahad, penduduk setempat dan tetamu dari Tambunan berkampung hingga ke petang di lokasi itu. Bagaimanapun, buat permulaan ini kunjungan hanya dapat dibuat melalui tempahan. Persatuan Alumni St Pius Pamilaan, Tenom yang mengendalikan pelbagai pakej pelancongan di kampung itu boleh dihubungi melalui urusetia perunding, Wasai Tour.

Pada majlis pembukaan dua hari lalu, pengendali rumah-rumah tradisi menyediakan laluan rumah ke rumah kepada rombongan pelawat. Sambutan dimulakan di pangkal Jalan Homestay KUK St Peter Mr Stanley P. Hill. Dari permulaan jalan kira-kira 50meter itu, pengunjung memasuki gerbang menuruni bukit dan mula diraikan di rumah Misompuru. Di rumah ini, sajian ‘linopot’ atau nasi impit dibungkus daun segar tersedia di ‘rilibu’ atau nyiru. Linopot disajikan dengan pewarna keledek berlauk ikan, bunga papaya rebus dan tuhau.

Set hidangan tanpa minyak


Tempoh masa berkunjung di setiap rumah bergantung kepada selera pengunjung. Dari rumah Misompuru, kunjungan seterusnya dibuat ke rumah Lologubon. Paluan gong irama Penampang menanti pengunjung di rumah ini. Di pantaran rumah, koir meraikan pengunjung dengan lagu identiti rumah mereka. Minuman pelbagai rasa ditawarkan sebelum menghadap hidangan makanan menu ‘tiniwak’ iaitu inti batang pisang hutan, nasi linopot, daun bawang campur, ulam jantung pisang bercampur bilis dan sambal.

Dari rumah Lologubon, pengunjung diiringi bertandang ke rumah Nuntunan. Di rumah yang terletak di kaki bukit itu, kanak-kanak sedia menyapa rombongan pelawat dengan memberi alu-aluan dalam bahasa Kadazandusun. Dalam rumah terhidang linopot berpewarna kuning ubi manis mengandungi lauk ikan. Turut membuka selera ialah set sayuran kampung tutan, tiniwak  dan taduk. Terdapat juga minuman ‘tinogoyi’ iaitu air tapai beras bagi pengunjung yang biasa meminum minuman itu.
Kunjungan seterusnya ialah ke rumah Narantai. Sampai di ambang gerbang beratap ‘sinorut’ atau rumbia memanjang menuruni bukit, penyambut tetamu siap mengiringi pelawat ke rumah utama. Di pantaran rumah, minuman ‘sinompuru’ iaitu air dalam bekas bambu diikat bertandan dihidangkan. Pada waktu yang sama, kumpulan kanak-kanak sedia menanti pelawat dengan ‘choral speaking’ bahasa Kadazandusun dan masuk ke ruang tamu, pelawat dihiburkan koir dan irama tongkungon.  Pelawat juga berkesempatan memerhati koleksi gambar kronologi pembinaan rumah tradisi itu.
Aneka hidangan kampung tanpa minyak 
sajian tradisional penduduk asal Sabah

Pelawat kemudian diiringi turun ke halaman rumah untuk menghadap aneka hidangan tradisional tanpa minyak di ruang makan beratap sinorut. Pengunjung boleh menikmati set menu terdiri daripada nasi pulut berbungkus daun pisang dimasak ala lemang, ayam kampung rebus, ‘tinimbu’ atau bubur ayam kampung, nasi ‘tadong’ padi bukit, linompuka, ubi manis pelbagai warna, ‘borot’ atau ikan sungai rebus, ‘gagau’ atau jeruk ikan dan sup daging dimasak menggunakan kayu api. Pengunjung turut disajikan minuman ‘linutau komis’ atau air tapai manis dihidangkan dalam ‘suki’ atau ruas bambu.

Rumah Tobobon menjadi destinasi terakhir menghidangkan ayam kampung rebus beserta ikan segar air tawar, daging dan sambal. Pengunjung menghadap hidangan di halaman rumah di bawah rimbunan pohon-pohon. Suasana di tempat ini amat santai dengan hembusan angin sepoi beserta aliran air anak sungai yang perlahan. Irama gong Penampang dipalu dan telah menarik keinginan pengunjung berdendang irama sumazau.
Urusetia Wasai Tour boleh dihubungi melalui 0198120553 (Stanly Leo), 0198830535 (Philip) dan 0195884535 (Justina). Siri ketiga akan datang mengimbas kesenian yang telah dipersembahkan manakala siri terakhir berkisar upacara perasmian dan pendapat pelbagai pihak mengenai pusat pelancongan itu.


Sup daging dimasak menggunakan kayu api dihidang menggunakan tempurung kelapa
Ayam kampung rebus beserta ikan segar air tawar, daging dan sambal

Set sayur kampung tutan, tiniwak  dan taduk

Tiniwak pisang hutan, ulam jantung pisang dan sambal


Santai selepas makan berkongsi ‘suki’ minum linutau ‘komis

Oleh HENRY BATING

Monday, February 10, 2014

Homestay Pamilaan buka tirai raikan rombongan pengunjung (Siri 1)

Bhg 1 dari 4 Siri

Oleh HENRY BATING 
3 Dis 2013

Rumah Tobobon dipandang dari arah dataran tanah tinggi Lologubon

RUMAH inap-desa (Homestay) Pamilaan pada Ahad membuka tirai mengalu-alukan kehadiran pelawat menikmati suasana desa dengan layanan mesra penduduk sambil menikmati hidangan tradisional ala Kaamatan.
Bagaimanapun lima rumah tradisi homestay yang terletak di kaki bukit pinggir padang ragut tanah tinggi Lologubon itu, buat permulaan hanya dapat meraikan pengunjung yang datang melalui tempahan.

Persatuan Alumni St Pius, Pamilaan yang mengendalikan destinasi pelancongan desa, terletak kira-kira 25km dari Pekan Tenom dan 28km dari Pekan Keningau itu boleh dihubungi melalui urusetia perunding, Wasai Tour.
Homestay itu merupakan salah satu daripada beberapa destinasi pelancongan di Pamilaan yang menawarkan kunjungan secara pakej. Destinasi lain termasuklah Taman Rekreasi Batu 15, air terjun (wasai) Pamilaan dan rumah-rumah penduduk.
Penasihat persatuan almuni, Stanley P. Hill ketika melancarkan pusat homestay itu yakin tempat berkenaan mampu menarik perhatian ramai khususnya kalangan pencinta warisan tradisional untuk mengenali lebih dekat latar belakang kehidupan masyarakat Kadazandusun.
“Saya telah melihat keadaan yang baik di tempat ini sejak lama dulu, agak banyak kerbau di sini, saya juga pernah membawa rombongan murid berkelana berhari-hari di sekitar wasai untuk pembelajaran sains alam semulajadi,” kata Stanley.
Stanley, 74, berketurunan Australia-Dusun menjadi Guru Besar St Pius, Pamilaan sejak sebelum kemerdekaan antara 1962-1966 sebelum berpindah tugas dan menetap di Pekan Tambunan.
Lima buah rumah tradisi suku kaum Dusun itu mewakili lima petempatan perumahan di Kg Pamilaan dan diberi nama Misompuru, Lologubon, Narantai, Nuntunan dan Tobobon.
Setiap rumah meraikan pengunjung dengan pelbagai variasi hidangan makanan, minuman, persembahan dan kesenian.

Hidangan yang disajikan di rumah-rumah tradisi itu amat sesuai bagi kalangan masyarakat Sabah di perantauan yang tidak sempat merayakan Pesta Kaamatan di kampung untuk merasakan, menikmati dan mengimbas kembali suasana pesta (moginakan) di perkampungan.
Struktur binaan rumah-rumah tradisi menggunakan sepenuhnya tenaga penduduk secara bergotong-royong, memanfaatkan bahan-bahan binaan yang tumbuh di kampung seperti kayu dan bambu.
Persekitaran perumahan tradisi juga diupaya mengekalkan keseimbangan ekologi dengan membiarkan pohon besar merimbun, memelihara laluan air anak sungai serta menanam pelbagai tanaman kontan di halaman setiap rumah.

Mengunjungi Homestay Pamilaan memberi suasana berkunjung dari rumah ke rumah perkampungan melalui laluan menuruni bukit, mendaki dan melereng di samping meniti jambatan kecil menyeberang anak sungai.
Kadar kos bagi rombongan mengunjungi pusat homestay itu amat berpatutan dan menjanjikan kepuasan selera bagi penggemar masakan kampung masyarakat Kadazandusun Murut di samping kenangan terindah bersama penduduk umpama VIP (orang penting) baru balik dari lawatan.
Siri kedua bakal mengupas hidangan tradisi yang disediakan, siri ketiga mengenai kesenian manakala siri terakhir berkisar upacara perasmian dan pendapat pelbagai pihak mengenai pusat pelancongan itu.

Turut mengiringi Stanley mengunjungi rumah-rumah tradisi ialah Pengerusi Persatuan Alumni, Philip Basalant, Setiausaha II, Stanly Leo, pengusaha Olumis Butik Borneo, Justina Datuk J.B. Dusing dan Pensyarah Kanan Bahasa Kadazandusun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Rosliah Kiting.
Urusetia Wasai Tour boleh dihubungi melalui 0198120553 (Stanly Leo), 0198830535 (Philip) dan 0195884535 (Justina).

 
Gerbang masuk ke rumah Misompuru


Stanley Hill (tengah), Stanly Leo (kanan), Philip Basalant bersama rombongan menuruni bukit ke rumah Misompuru


Penduduk dalam pondok di halaman rumah Narantai


Sebahagian rombongan tetamu bergambar di hadapan rumah Misompuru


Kanak-kanak turut serta mengalu-alukan kehadiran tetamu di rumah Lologubon


Sekumpulan kanak-kanak mengalu-alukan tetamu di beranda rumah Narantai


Halaman rumah Tobobon dengan anak sungai mengalir dipandang dari utara


Oleh: Henry Bating
Rencana Utusan Borneo 3 Dis 2013.

Sunday, February 9, 2014

Tour de’ Pamilaan: Membongkar tarikan di balik belukar (TdP siri 2)

Siri II

Oleh HENRY BATING

Hidangan tradisi disajikan kepada
 pengunjung Tour de’ Pamilaan

TARIKAN utama Wasai Pamilaan tidak lain dari panoramanya yang berada di bawah kolong rimbunan hutan dara beserta beberapa lubuk mandi-manda dan dua lokasi air terjun berdekatan. Keletihan berjalan menuruni lurah yang curam serta-merta menjadi reda tatkala membasuh tangan sebaik menjejak kaki di tebing sungai.
Masa sejam dua memadai bagi pengunjung menikmati kesejukan, meneroka lubuk ke lubuk dan mencapai satu lagi air terjun kira-kira satu kilometer ke hulu. Meninggalkan Wasai dengan memanjat tebing berpaut pada akar-akar kayu, pengunjung kemudian boleh menikmati masa santai singgah di rumah-rumah penduduk bagi menghayati kehidupan harian masyarakat kampung.

Tarikan mengenai Wasai Pamilaan sudah menjadi buah bibir penduduk kampung sejak sekian lama. Namun demikian sehingga pada pelancaran Tour de’ Pamilaan (TdP) 17 Ogos 2013, belum ada usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan untuk memajukan lokasi itu sebagai destinasi yang menarik. Joe Milan, belia Kg Pamilaan yang berprofesi sebagai guru menggambarkan Wasai itu sebagai memiliki suasana tenang, menyenangkan dan bersih.
Wasai itu terletak berhampiran sempadan Banjaran Crocker di gaung antara dua buah bukit bernama Kukuton di bahagian Barat dan Bobodok di bahagian Timur. Wasai itu belum tercemar daripada segala bentuk pencemaran dan memang amat sesuai didatangi oleh kalangan pencinta alam yang menginginkan ketenangan.
Jarak perjalanan ke Wasai adalah kira-kira 6Km dari jalan raya besar simpang Kg Pamilaan, tepatnya di SRK St Pius. Persimpangan itu merupakan pertengahan lebuh raya Tenom – Keningau iaitu kira-kira 24Km dari Tenom dan 26 Km dari Keningau. Perjalanan berkenderaan ke Pamilaan dari Tenom atau Keningau hanya memakan masa kira-kira 20 minit.

Perjalanan masuk ke Kg Pamilaan dari persimpangan ke Tobobon sejauh kira-kira 3Km berada dalam keadaan selesa dengan jalan raya berturap. Namun cabaran bermula untuk perjalanan seterusnya kerana hanya kenderaan pacuan empat roda atau motosikal mampu menempuh jalan berbatu ke puncak Bukit Kukuton sebelum berjalan kaki kira-kira 1Km ke Wasai.
Namun demikian, jika pengunjung mahu menguji ketahanan fizikal dan mental, pengunjung boleh memilih untuk berjalan kaki. Kelancaran perjalanan bergantung kepada keadaan cuaca. Anggaran masa untuk sampai ke Wasai dengan berjalan kaki adalah kira-kira 1-2 jam. Manakala jika menggunakan kenderaan, pengunjung diperkirakan sampai ke Wasai dalam tempoh 15-20 minit.


Pada ketika ini, Wasai hanya boleh dikunjungi pergi dan balik sahaja kerana belum mempunyai tapak perkemahan yang selesa. Bagaimanapun, sekiranya mahu bermalam, pengunjung boleh membawa beg tidur atau ‘Hamock’ sahaja. Wasai itu sering dikunjungi penduduk terutama sekali kalangan belia.
“Air terjun yang hanya berketinggian kira-kira tiga meter dengan kadalaman lubuk 2.5 meter cukup untuk pengunjung merasakan kedinginan dan getaran bibir kesejukan,” kata Joe Milan sambil menambah, segala aktiviti menangkap ikan adalah dilarang sama sekali kerana kawasan itu termasuk dalam wilayah ‘Tagal’ yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Joe Milan menekankan, pengunjung hanya boleh melawat tempat itu tetapi tidak dibenarkan melakukan apa-apa gangguan terhadap persekitaran dan isi sungai. Pernyataan yang sama turut disuarakan oleh Ketua Kampung, Johnny Borok dan Pengerusi JKKK, Dewin Kaling.
Joe Milan turut melahir betapa perlunya panduan berbentuk papan tanda diletakkan di tempat-tempat strategik untuk memberi informasi perjalanan serta nombor-nombor yang boleh dihubungi untuk kegunaan para pengunjung yang belum biasa dengan tempat itu.

“Pengunjung sebenarnya memiliki beberapa pilihan untuk mandi-manda di Wasai. Selain air terjun yang biasa dikunjungi, terdapat satu lagi air terjun di hulu yang boleh dikunjungi. Kedudukan antara satu air terjun dengan air terjun yang lain tidak begitu jauh. Tapi air terjun di hulu belum dikunjungi ramai,” kata Julius Elip, seorang pemimpin belia di Kg Pamilaan.
Sementara itu, dalam pertemuan dengan penduduk, Justina Datuk Dusing meminta setiap keluarga memikirkan dan mengusahakan produk pelancongan yang boleh ditawarkan kepada setiap rombongan yang akan datang ke tempat itu apabila sampai masanya.

“Selain hidangan tradisi, kesenian juga harus ditampilkan termasuk permainan rakyat, keindahan musim menanam padi dan segala aktiviti yang dapat menarik perhatian pengunjung untuk datang lagi dengan rombongan yang lebih ramai,” kata Justina yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan.
Justina adalah penduduk Kg Pamilaan yang menjadi Pengurus Besar Olumis Borneo Batik di ibu negeri yang mengusahakan pengeluaran kain batik, rekaan fesyen, jahitan dan promosi pameran. Sempena pelancaran TdP, pelbagai produk kampung sempat dinikmati pengunjung termasuk hidangan tradisi, menjala ikan di kolam, melastik, membela kerbau, memukul gong dan sumazau.

Seperkara lagi, kunjungan ke Pamilaan sudah pasti menawarkan nuansa tempatan yang tersendiri di mana sebahagian besar kanak-kanak berumur bawah 10 tahun masih bertutur dalam bahasa Kadazandusun dialek Liwan. Sebarang pertanyaan boleh disampaikan kepada Stanly Leo 0198120553 atau melalui facebook Pamilaan Villa. TAMAT


Kanak-kanak antara yang menikmati suasana di Wasai Pamilaan


Dari kiri Albert Karang, KK Johnny Borok, John Sarat, Balasius Masuning dan Appollonius Kintang turut mengimbas nostalgia zaman remaja mandi-manda di Wasai Pamilaan

Menghilangkan kesejukan di keliling unggun api

Wasai Pamilaan boleh memuatkan sehingga 100 pengunjung

Fabian Martin menunjukkan kemahiran melastik objek mewakili golongan belia


Justina Datuk Dusing menunjukkan kebolehan melastik bagi pihak wanita. Turut kelihatan Stanly Leo (kiri)

Merambat atau menjala ikan di kolam menjadi sebahagian aktiviti Tour de’ Pamilaan

Sebahagian pengunjung tertarik pada kerbau yang ada di Kg Pamilaan. Turut kelihatan Joe Milan mengambil gambar


Kerbau haiwan peliharaan yang jinak dan bersahabat kepada pengunjung

Acara memukul gong dan sumazau turut mengalu-alukan pengunjung Tour de’ Pamilaan

Hidangan ringan Hari Raya turut menyerikan kehadiran pengunjung Tour de’ Pamilaan

Oleh: Henry Bating
Rencana Utusan Borneo 20 Ogos 2013
 
 
Blogger Templates