Ads 468x60px

Sunday, February 9, 2014

Tour de’ Pamilaan: Membongkar tarikan di balik belukar (TdP siri 2)

Siri II

Oleh HENRY BATING

Hidangan tradisi disajikan kepada
 pengunjung Tour de’ Pamilaan

TARIKAN utama Wasai Pamilaan tidak lain dari panoramanya yang berada di bawah kolong rimbunan hutan dara beserta beberapa lubuk mandi-manda dan dua lokasi air terjun berdekatan. Keletihan berjalan menuruni lurah yang curam serta-merta menjadi reda tatkala membasuh tangan sebaik menjejak kaki di tebing sungai.
Masa sejam dua memadai bagi pengunjung menikmati kesejukan, meneroka lubuk ke lubuk dan mencapai satu lagi air terjun kira-kira satu kilometer ke hulu. Meninggalkan Wasai dengan memanjat tebing berpaut pada akar-akar kayu, pengunjung kemudian boleh menikmati masa santai singgah di rumah-rumah penduduk bagi menghayati kehidupan harian masyarakat kampung.

Tarikan mengenai Wasai Pamilaan sudah menjadi buah bibir penduduk kampung sejak sekian lama. Namun demikian sehingga pada pelancaran Tour de’ Pamilaan (TdP) 17 Ogos 2013, belum ada usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan untuk memajukan lokasi itu sebagai destinasi yang menarik. Joe Milan, belia Kg Pamilaan yang berprofesi sebagai guru menggambarkan Wasai itu sebagai memiliki suasana tenang, menyenangkan dan bersih.
Wasai itu terletak berhampiran sempadan Banjaran Crocker di gaung antara dua buah bukit bernama Kukuton di bahagian Barat dan Bobodok di bahagian Timur. Wasai itu belum tercemar daripada segala bentuk pencemaran dan memang amat sesuai didatangi oleh kalangan pencinta alam yang menginginkan ketenangan.
Jarak perjalanan ke Wasai adalah kira-kira 6Km dari jalan raya besar simpang Kg Pamilaan, tepatnya di SRK St Pius. Persimpangan itu merupakan pertengahan lebuh raya Tenom – Keningau iaitu kira-kira 24Km dari Tenom dan 26 Km dari Keningau. Perjalanan berkenderaan ke Pamilaan dari Tenom atau Keningau hanya memakan masa kira-kira 20 minit.

Perjalanan masuk ke Kg Pamilaan dari persimpangan ke Tobobon sejauh kira-kira 3Km berada dalam keadaan selesa dengan jalan raya berturap. Namun cabaran bermula untuk perjalanan seterusnya kerana hanya kenderaan pacuan empat roda atau motosikal mampu menempuh jalan berbatu ke puncak Bukit Kukuton sebelum berjalan kaki kira-kira 1Km ke Wasai.
Namun demikian, jika pengunjung mahu menguji ketahanan fizikal dan mental, pengunjung boleh memilih untuk berjalan kaki. Kelancaran perjalanan bergantung kepada keadaan cuaca. Anggaran masa untuk sampai ke Wasai dengan berjalan kaki adalah kira-kira 1-2 jam. Manakala jika menggunakan kenderaan, pengunjung diperkirakan sampai ke Wasai dalam tempoh 15-20 minit.


Pada ketika ini, Wasai hanya boleh dikunjungi pergi dan balik sahaja kerana belum mempunyai tapak perkemahan yang selesa. Bagaimanapun, sekiranya mahu bermalam, pengunjung boleh membawa beg tidur atau ‘Hamock’ sahaja. Wasai itu sering dikunjungi penduduk terutama sekali kalangan belia.
“Air terjun yang hanya berketinggian kira-kira tiga meter dengan kadalaman lubuk 2.5 meter cukup untuk pengunjung merasakan kedinginan dan getaran bibir kesejukan,” kata Joe Milan sambil menambah, segala aktiviti menangkap ikan adalah dilarang sama sekali kerana kawasan itu termasuk dalam wilayah ‘Tagal’ yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Joe Milan menekankan, pengunjung hanya boleh melawat tempat itu tetapi tidak dibenarkan melakukan apa-apa gangguan terhadap persekitaran dan isi sungai. Pernyataan yang sama turut disuarakan oleh Ketua Kampung, Johnny Borok dan Pengerusi JKKK, Dewin Kaling.
Joe Milan turut melahir betapa perlunya panduan berbentuk papan tanda diletakkan di tempat-tempat strategik untuk memberi informasi perjalanan serta nombor-nombor yang boleh dihubungi untuk kegunaan para pengunjung yang belum biasa dengan tempat itu.

“Pengunjung sebenarnya memiliki beberapa pilihan untuk mandi-manda di Wasai. Selain air terjun yang biasa dikunjungi, terdapat satu lagi air terjun di hulu yang boleh dikunjungi. Kedudukan antara satu air terjun dengan air terjun yang lain tidak begitu jauh. Tapi air terjun di hulu belum dikunjungi ramai,” kata Julius Elip, seorang pemimpin belia di Kg Pamilaan.
Sementara itu, dalam pertemuan dengan penduduk, Justina Datuk Dusing meminta setiap keluarga memikirkan dan mengusahakan produk pelancongan yang boleh ditawarkan kepada setiap rombongan yang akan datang ke tempat itu apabila sampai masanya.

“Selain hidangan tradisi, kesenian juga harus ditampilkan termasuk permainan rakyat, keindahan musim menanam padi dan segala aktiviti yang dapat menarik perhatian pengunjung untuk datang lagi dengan rombongan yang lebih ramai,” kata Justina yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan.
Justina adalah penduduk Kg Pamilaan yang menjadi Pengurus Besar Olumis Borneo Batik di ibu negeri yang mengusahakan pengeluaran kain batik, rekaan fesyen, jahitan dan promosi pameran. Sempena pelancaran TdP, pelbagai produk kampung sempat dinikmati pengunjung termasuk hidangan tradisi, menjala ikan di kolam, melastik, membela kerbau, memukul gong dan sumazau.

Seperkara lagi, kunjungan ke Pamilaan sudah pasti menawarkan nuansa tempatan yang tersendiri di mana sebahagian besar kanak-kanak berumur bawah 10 tahun masih bertutur dalam bahasa Kadazandusun dialek Liwan. Sebarang pertanyaan boleh disampaikan kepada Stanly Leo 0198120553 atau melalui facebook Pamilaan Villa. TAMAT


Kanak-kanak antara yang menikmati suasana di Wasai Pamilaan


Dari kiri Albert Karang, KK Johnny Borok, John Sarat, Balasius Masuning dan Appollonius Kintang turut mengimbas nostalgia zaman remaja mandi-manda di Wasai Pamilaan

Menghilangkan kesejukan di keliling unggun api

Wasai Pamilaan boleh memuatkan sehingga 100 pengunjung

Fabian Martin menunjukkan kemahiran melastik objek mewakili golongan belia


Justina Datuk Dusing menunjukkan kebolehan melastik bagi pihak wanita. Turut kelihatan Stanly Leo (kiri)

Merambat atau menjala ikan di kolam menjadi sebahagian aktiviti Tour de’ Pamilaan

Sebahagian pengunjung tertarik pada kerbau yang ada di Kg Pamilaan. Turut kelihatan Joe Milan mengambil gambar


Kerbau haiwan peliharaan yang jinak dan bersahabat kepada pengunjung

Acara memukul gong dan sumazau turut mengalu-alukan pengunjung Tour de’ Pamilaan

Hidangan ringan Hari Raya turut menyerikan kehadiran pengunjung Tour de’ Pamilaan

Oleh: Henry Bating
Rencana Utusan Borneo 20 Ogos 2013

Pakej Tour de’ Pamilaan tawar aktiviti santai, lasak dan mencabar fizikal (TdP siri 1)

Tour de' Pamilaan Siri I

Oleh HENRY BATING

John Sarat membuat cubaan melastik objek


MENGUNJUNGI pelbagai aktiviti dalam pakej pelancongan Tour de’ Pamilaan (TdP) adalah perjalanan yang berbaloi dari arah Kota Kinabalu ke kawasan pedalaman untuk menghabiskan percutian. Pelancaran promosi TdP yang pertama 17 Ogos 2013 telah menyerlahkan satu lagi percutian lasak dari bawah rimbunan rimba yang selama ini belum sampai ke pengetahuan ramai.
Pengunjung boleh menghabiskan masa sehari suntuk mengikuti pelbagai program dalam pakej TdP. Pakej TdP menjanjikan kenangan yang sukar luput dari ingatan setiap pengunjung. Dalam TdP ada suasana santai di Taman Rekreasi Batu 15, juga kembara bermotosikal dan berkereta merentas rumah-rumah perkampungan, cabaran lasak bermotosikal dan berkereta pacuan empat roda mendaki puncak Bukit Kukuton serta ujian lasak fizikal berjalan kaki menyusur denai menuruni lurah yang curam ke Wasai (air terjun) Pamilaan.

Di Wasai Pamilaan, lubuk dan persekitaran air terjun ramah memuat sehingga 100 pengunjung untuk mandi-manda, melakukan aksi terjunan, mendirikan unggun api, memasak dan bersantai. Suasana di Wasai dingin sepanjang masa lantaran hutan dara yang tebal masih berselubung. Sejam berada di Wasai cukup memuaskan nikmat dan pengunjung boleh balik dengan singgah di rumah-rumah penduduk yang sedia menanti.
Di rumah-rumah penduduk, pengunjung boleh menikmati hidangan tradisi dan merasai cara hidup harian penduduk. Pelbagai aktiviti ditawarkan kepada pengunjung seperti menjala ikan di kolam, memasak, melastik, membela kerbau, menoreh getah, berjalan menggunakan ‘rampanau’, bermain gasing, memukul gong, sumazau dan becerita dalam bahasa Kadazandusun dialek Liwan.

“Pengunjung Tour de’ Pamilaan dari arah Kota Kinabalu boleh mengalami perjalanan yang berbaloi sepanjang tiga hari. Pada hari pertama pengunjung boleh menghabiskan percutian dengan singgah di banyak tempat sepanjang perjalanan Kota Kinabalu – Tambunan – Keningau – Tenom,” kata John Sarat, Timbalan Pengerusi Badan Alumni St Pius, Pamilaan.
John, seorang guru lulusan sebuah universiti di Amerika pada tahun 1995 memberikan perkongsiannya hasil pengalaman berinteraksi dengan beberapa kumpulan pelancong yang melawat Negeri Sabah.
Pusat-pusat persinggahan pada hari pertama termasuklah Pusat Rama-Rama Kipandi, Pasar Sayuran Togudon, Resort Gunung Alab, Pusat Informasi Refflesia, Air Terjun Masakob, Pekan Tambunan, Gerai Rompon, Taman Bandukan Bingkor dan  Pekan Keningau. Pada hari kedua, pengunjung boleh menghabiskan masa sehari suntuk menikmati pelbagai program dalam pakej Tour de’ Pamilaan sebelum menginap di Pekan Tenom. Manakala pada hari ketiga pengunjung boleh meneruskan perjalanan ke Pangi-Rayoh menaiki keretapi untuk aktiviti lasak air ‘White Water Rafting’.

Pengerusi Badan Alumni St Pius, Philip Balasom Basalant ketika melancarkan promosi pertama Tour de’ Pamilaan memberitahu pihaknya akan meneliti dokumentari yang dibuat dalam penggambaran sepanjang program tersebut untuk dipromosikan kepada pihak-pihak berkaitan pelancongan di peringkat Negeri Sabah dan Persekutuan.
“Kita akan memasarkan program pelancongan Tour de’ Pamilaan kepada para pelancong dalam dan luar negara setelah beberapa kemudahan infrastruktur dapat dibangunkan dengan memperkembangkan penglibatan penduduk menawarkan lebih banyak aktiviti termasuk pembangunan homestay,” kata Philip, pesara Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah.
Philip juga adalah alumni St Pius yang pertama lulus di universiti setelah tamat pengajian di salah sebuah universiti di United Kingdom pada tahun 1989.
Sementara itu, Ketua Kampung Kg Pamilaan, KK Johnny Borok menyambut baik pelancaran promosi itu dengan memberi jaminan akan bekerja bersama pihak JKKK untuk merangka pelbagai kemudahan dalam pakej TdP.

“Kita sedar usaha ini bukan mudah tapi kita perlu lakukan kerana program ini boleh memberikan manfaat kepada penduduk kampung untuk meningkatkan pendapatan. Kita yakin usaha ini boleh dibuat kerana kerajaan yang ada sekarang amat menyokong penuh terhadap pembangunan sektor pelancongan khususnya di luar bandar,” kata Johnny.
Dalam perjumpaan di hujung program, resolusi dibuat di mana Badan Alumni St Pius Pamilaan akan mengadakan promosi Tour de’ Pamilaan sekali setahun dengan tambahan menaja program bersifat akademik pada hari pertama Pesta Kaamatan peringkat kampung pada setiap tahun. Bersambung esok dalam Siri II dan terakhir.


Khidmat masyarakat oleh Philip Basalant (kiri) selaku pesara pegawai kanan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah

Menyusur tebing Taman Rekreasi Batu 15 Pamilaan

Kegiatan memanggang pengunjung Taman Rekreasi Batu 15 Pamilaan

Konvoi motosikal dan kenderaan melibatkan 88 peserta

Cabaran merentas Kukuton ke Wasai Pamilaan

Anak kecil turut serta dalam kenderaan merentas Kukuton ke Wasai Pamilaan


Konvoi motosikal turut menguji kekuatan merentas Kukuton ke Wasai Pamilaan


Melewati sulap penduduk perladangan getah di Kukuton

Cabaran berjalan kaki menuruni lurah Kukuton ke Wasai Pamilaan

KK Johny Borok (kanan) memerhatikan petugas bantuan kecemasan yang memberi rawatan ringan kepada seorang peserta

Kanak-kanak antara yang menikmati suasana di Wasai Pamilaan
Oleh : Henry Bating
Rencana Utusan Borneo 19 Ogos 2013 

Pamilaan Villa buka tiga tapak baharu perkhemahan, perkelahan

Oleh HENRY BATING

MENYALAKAN api selesai gotong-royong
BELIA Pamilaan Villa pada 31 Januari membuka tiga tapak baharu untuk perkhemahan dan perkelahan. Tiga tapak itu terletak di sepanjang Sungai Pamilaan, kira-kira 23km dari Pekan Tenom. Lokasi tapak melibatkan tempat yang strategik dikunjungai penduduk terletak di Sungai Tailaan, Piolungan tempat bertemunya Sungai Tailaan dan Sungai Pamilaan serta sebuah lagi di Pamilaan Tengah.

Ketua Belia Pamilaan Villa, Julius Elip yang mengetuai kerja-kerja pembersihan tapak tebing sungai memulakan gotong-royong di Piolungan pada jam 10.00 pagi, disusuli ke tempat kedua di Tailaan (1.00 petang) dan di Pamilaan Tengah (4.00 petang).
“Pembukaan tiga lokasi ini diharapkan dapat menjadi tapak perkelahan penduduk kampung khususnya di kalangan belia bagi memenuhi masa santai mereka di samping digunakan sebagai tapak perkhemahan oleh kalangan pelajar sekolah yang bergiat aktif dalam aktiviti pelbagai persatuan seperti Pengakap, Bulan Sabit Merah dan lain-lain,” kata Julius.

Turut serta dalam aktiviti sehari bergotong-royong itu ialah Ketua Kampung, KK Johny Borok, Mantan KAN, Sukim Sarat, En Felix Martin dan kalangan belia beserta penduduk.

Menurut Julius, pembukaan tapak itu juga bertujuan untuk melengkapkan pakej pelancongan di kampung itu menyusul promosi laluan konvoi ke pelbagai destinasi seperti Wasai (air terjun), perkampungan tradisi Pamilaan Villa, beberapa kolam rekreasi, kawasan serpihan pesawat tempur Perang Dunia II di Sungai Lindopon, Ulu Pangalat dan Taman Banjaran Crocker Ulu Sumbiling.
Johny menyambut baik penambahan destinasi pelancongan di perkampungan itu bagi memperluaskan lagi kawasan rekreasi penduduk di samping menyahut usaha mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014.

BERSANTAI di tapak perkelahan yang baru dibersihkan

“Kita berharap penduduk dapat mengambil peranan aktif mengalu-alukan kedatangan rombongan pelancong ke pelbagai destinasi yang terdapat dalam kawasan Melalap Utara ini bagi mengambil bahagian dalam perolehan industri pelancongan,” kata Johny.
Johny turut menyarankan penduduk khususnya kalangan belia agar memanfaatkan sepenuhnya tempat-tempat rekreasi di kampung itu dan tidak semata-mata bergantung kepada kunjungan ke pelbagai destinasi yang jauh bagi memenuhi masa santai mereka.
Sukim pula melahirkan harapan yang optimis mengenai potensi industri pelancongan di kampung berkenaan dengan mengambil contoh pelbagai destinasi pelancongan kampung-kampung lain yang sudah maju dan mampu memberikan sumber pendapatan kepada penduduk.

“Kampung kita memiliki anugerah alam yang baik dan sesuai untuk rombongan pelawat datang baik pelancong dalam negeri mahupun luar negeri. Kita memiliki pelbagai sumber untuk ditawarkan kepada pelancong bagi menikmati suasana desa, tradisi dan percutian yang menyenangkan,” kata Sukim.
Menurut Sukim, pihaknya sedang merangka usaha mewujudkan pusat peranginan di tebing sungai Pamilaan Tengah yang dilengkapi pelbagai kemudahan rekreasi melibatkan tapak beriadah, memancing, café, ruang perjumpaan dan persembahan tradisi.
Sementara itu, Hasmin Azroy Abdullah dan Chinly Moniu dari Kg Jawa Sumbiling yang sedang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan serta mula bergabung dalam promosi dan operasi pelancongan zon Melalap Utara itu bersedia menggabungkan tenaga dan kepakaran.
“Seperti yang biasa saya lakukan, website mengenai pelbagai destinasi pelancongan di tempat ini akan dilancarkan dengan memiliki jaringan promosi bersama pelbagai destinasi pelancongan lain yang sudah lama beroperasi. Melalui web itu pegunjung boleh membuat tempahan serta-merta tapi penduduk harus bersedia menerima kedatangan lebih banyak rombongan,” kata Azroy.

Manakala Chinly yang terlibat sebagai pengangkut dan pemandu rombongan pelancong ke pelbagai destinasi berharap penduduk mula melibatkan secara serius sebagai penerima kehadiran rombongan dan mengambil tahu tentang apa yang disukai pelancong untuk datang melawat.
KERJA bersama membersihkan tapak perkelahan

MENGELILINGI unggun api di tepi sungai

BERKELAH di Piolungan

MENIKMATI hidangan tengahari. Kelihatan Julius (bertopi) 
bersama sebahagian peserta gotong-royong

BERDAHANG menghilang kesejukan selepas mandi-manda


ASYIK mandi-manda seorang anak ditemani ibu

BELAJAR menyemarakkan unggun api di tepi sungai

TAPAK perkhemahan yang baru dibuka

BERKONGSI cerita selepas bergotong-royong. KK Johny Borok (kanan)
berceloteh dengan sebahagian belia Pamilaan Villa


RIMBA tepi sungai memberi sumber sayur ‘dukaruk’ dan siput


Tour de’ Pamilaan (TdP) yang dilancarkan Ogos 2013 bakal mengambil tempat untuk penganjuran kali kedua pertengahan tahun ini bagi mempromosi tempat-tempat yang sudah dimajukan beserta pelbagai destinasi yang baru dibuka. Promosi itu dikendalikan Persatuan Bekas Pelajar St Pius dipengerusikan oleh Philip Basalant.

Rencana Utusan Borneo, 7 Februari 2014

Tuesday, February 4, 2014

Serpihan Bangkai Kapal Perang Dunia Kedua di Lindopon Tepoh (10 Gambar)


Meninjau lokasi ini pada1 februari 2014 bersama lebih 20 peserta lain dengan diketuai oleh saudara Henry Bating cukup memberikan pengalaman berharga serta mengujakan buat semua peserta. Manakan tidak, bukan semua pengunjung termasuk penduduk kampung berpeluang mengunjungi lokasi kejadian ini yang terletak kira-kira 3-4km daripada kawasan kampung(Lindopon). Walau bagaimana pun,rombongan peserta terpaksa mengambil masa lebih sejam setengah (1 jam 30minit) untuk sampai ke lokasi ini. Hal ini kerana, perjalanan berbukit bukau, cerun tinggi serta hutan tebal menyukarkan peserta mempercepatkan langkah perjalanan. Ditambah pula dengan penyertaan beberapa peserta kecil berumur sekitar 5-10 tahun.

Menurut 'Guider' yang mengiringi tinjauan ini,terdapat beberapa jalan yang boleh dilalui untuk sampai ke lokasi ini, ketika perjalanan menuju ke lokasi ini,kami melalui laluan pertama yang mempunyai cerun tinggi,sempit,berbatu licin termasuk menyusuri anak sungai. Laluan ini sangat sesuai bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak serta ingin menguji ketahanan fizikal. Manakala perjalanan kembali ke kawasan kampung, kami melalui denai yang agak mudah serta luas dan cuma mengambil masa lebih kurang 50minit.

Tujuan tinjauan ini dilakukan untuk mengenalpasti lokasi kejadian sebenar kerana lokasi ini termasuk dalam perancangan atau usaha untuk menjadikan tempat ini sebagai satu lokasi pelancongan di masa akan datang. Walaupun masih dalam perancangan, cadangan ini turut mendapat sokongan orang yang bergiat aktif menguruskan serta mengenalpasti produk pelancongan di Sabah, Encik Chinly Moniu yang juga turut serta dalam tinjauan ini. 

Terdapat beberapa perkara yang perlu diusahakan sebelum mewartakan lokasi ini sebagai salah satu lokasi pelancongan di kampung ini termasuk perbincangan dengan pihak Taman-taman Sabah untuk memberikan konsesi penjagaan kepada penduduk kampung. Hal ini kerana lokasi ini termasuk dalam kawasan Hutan Simpan negeri Sabah. Turut serta dalam tinjauan ini ialah Ketua Kampung Tepoh,En Taimin Majingi, dan saudara Hasmin Azroy Abdullah,juga seorang yang sedang bergiat aktif dalam ekopelancongan.

Sepintas Lalu berkenaan serpihan Kapal Perang ini.


Merupakan tinggalan sejarah yang sangat berharga semasa era perang Dunia ke-2. Kapal perang jenis “Brewster F2A Buffalo Fighter Planes” ini digunakan oleh tentera British untuk membebaskan Sabah daripada penjajahan Jepun 1942-1945. Kapal ini terhempas di Kg. Lindopon Ulu Tipoh, Tenom dalam antara tahun 1942-1945 setelah mengalami kerosakan teruk akibat ditembak oleh tentera Jepun. Menurut fakta lisan daripada penduduk di Kg. Lindopon Ulu Tipoh,  kapal ini dipercayai ditembak di Mengkalias, Tenom sebelum terhempas di lokasi kejadian akibat kerosakan enjin yang teruk.


Penduduk membayangkan kapal perang ini meletup dengan sangat dahsyat berikutan penemuan hanya serpihan-serpihan kecil bahagian bangkai yang ditemui, seperti enjin, sayap (Wing Loading), rim, senjata (Machine Gun) dan banyak lagi. Gambar menunjukkan lokasi kejadian dan sebahagian daripada rangka-rangka kapal di tempat kejadian.























Aksi Pengunjung













Oleh: Joe Milan

Gambar: Rick Marthel dan Randy Saimon
 
 
Blogger Templates