Oleh : DR HENRY BATING
Tanggal 17/6/15 ini - GEORGE SADANGKAT diperkirakan berumur hampir genap 60 tahun. George pergi menghadap Tuhan dan meninggalkan selama-lamanya umat Pamilaan yang pernah dia abdikan dalam pelayanan ketika hayat mudanya.
Moga engkau damai dalam perjalanan baru mu, saudara terhormat dan termulia kami GEORGE SADANGKAT dalam menghadap kehidupan kekal di sisi Allah Bapa di surga.
George yang diperkirakan lahir pertengahan 1950-an adalah angkatan kedua anak Pamilaan yang cemerlang dalam pelajaran menyusul Francis Sadiang dan St Theresa Sarat.
George lulus dengan baik Form Five (MCE) di SFX Keningau dalam pertengahan 1970-an. Sejurus kemudian George terbuka hati mengikuti program Aspiran bagi persediaan kemasukan ke seminari untuk menjadi Rev. Father.
George anak tunggal kepada ayah kandungnya, Sadangkat dengan ibunya Langot Bakiyang sudah pasti berhadapan dengan suatu cabaran yang besar untuk mendapatkan restu bagi memilih jalan hidup menjadi paderi.
Ketika itu George sudah menjadi anak tiri kepada Matanggun Dantal setelah kepergian ayah kandungnya dan menjadi abang kandung seibu kepada Jovita Matanggun. Dalam kehidupan remajanya, George juga banyak dinaungi oleh bapa saudaranya, John Ejah Gitik.
George menerima takdir untuk tidak meneruskan panggilannya ke seminari. George lalu mengabdikan kehidupannya di Pamilaan sebagai anak kampung sambil mencari peluang pekerjaan setingkat kelulusannya. Pada waktu yang sama, George aktif membantu Katekis Jonas Bating Kilam dalam ibadat sabda di Gereja St Pius di Batu 14 dan melaksanakan aktiviti kebeliaan.
George mengasaskan Catholic Youth Association (CYA) St Pius untuk melaksanakan peranan koir, mengiring perjalanan doa ketika bulan rosari, mengadakan caroling dan membentuk pasukan bolasepak CYA.
CYA pimpinan mendiang George Sadangkat telah mengambil peranan menyebarkan khabar gembira kelahiran Yesus melalui caroling tahunan setiap menjelang Krismas yang merangkumi lima buah kampung iaitu Pamilaan, Tepoh, Lindopon, Pangalat dan Mosolog.
Dalam arena bolasepak, George yang berkeadaan sebahagian anggotanya kurang upaya, tetap tangkas menjadi penjaga gawang pasukannya. Ketika itu setiap minggu padang sekolah St Pius ramai dengan perlawanan bolasepak.
Terdapat pasukan beragama Islam Batu 14, pasukan Pangalat, Pasukan Timor dan CYA Pamilaan yang bergabung dengan Mosolog, sebahagian Pangalat dan Ulu Tepoh.
Pasukan CYA menjadi pasukan yang disegani kerana hampir pasti memenangi setiap perlawanan yang dihadapi. Jikapun kurang cemerlang, hanya seri, kalah tipis atau kalah teruk disebabkan para pemain yang masih palau-palau aramaiti.
George kemudian menjadi pemain gantian kepada penjaga gawang utama, Ambit Sudangking dari Mosolog. Para pemain CYA kemudian begitu dihormati umat Kg Pamilaan sehingga terkadang jika kebetulan ada keramaian selepas perlawanan, mereka amat diraikan.
Pasukan CYA amat disegani oleh tiga pasukan tadi dengan adanya Jasri Ejah sebagai penyerang yang hampir tidak pernah mengecewakan penyokong untuk membawa bola membolosi gawang pihak lawan. CYA juga memiliki pemain pertahanan, Primus Kintang dan pemain tengah, Sukim Sarat yang memiliki kelengkapan bermain ketika itu. Primus dan Sukim adalah dua belia Pamilaan yang pertama membeli kasut bola, Adidas/ Puma.
Dalam barisan pemain CYA, turut beraksi ialah Johny Borok, Mumin Gunting dari Mosolog, Jokin Gamin dari Pangalat, Polus Masundang dari Tepoh, Jumin Galayun, Vitus Kaling dan adiknya Dewin dll.
Kira-kira pada tahun 1978, George menerima tawaran pekerjaan menjadi kerani surat beranak di Hospital Daerah Keningau. Pun begitu George masih berulang-alik ke Pamilaan setiap hujung minggu untuk melaksanakan aktiviti kegerejaan.
Kira-kira tahun 1980, George mendirikan rumah tangga dengan Bona James Batik.
Pada tahun 1983, gereja berpindah ke Toud dengan nama St Peter, mengambil sempena nama Rev Fr Peter De Wit, mantan Rektor Paroki Tenom yang mati dibunuh di Kudat. George menjadi Pengerusi Dewan Gereja. George juga menjadi pengerusi penganjur perasmian gereja yang disempurnakan Rektor Paroki, Rev Fr Francis Tsen.
Atas asuhan George, St Peter mampu menghantar kumpulan ke Pesta Koir peringkat paroki Tenom dan menjadi johan pada tahun 1984. Kemudian Krismas pada tahun itu, St Peter dipercayakan menjadi tuan rumah Pesta Koir Krismas Paroki Tenom dengan George menjadi pengerusi penganjur. St Peter ketika itu menjadi naib johan menyusul St Anthony yang turut menghantar penyertaan.
Dalam testimoninya, Herman Bating amat mengagumi sifat motivator George. Kata Herman, satu perkara yang tak dapat saya lupakan tentang mendiang George Sadangkat ialah sewaktu kami mengikuti pertandingan koir peringkat Paroki Tenom. Kami pada waktu itu cuma memakai pakaian koir hitam putih dengan nektai sahaja. Dan kami merasa lemah semangat bila melihat peserta lain memakai pakaian serba lengkap dengan stail terkini waktu tu. Tetapi mendiang George berjalan dan membisik kepada kami satu persatu dan menyatakan! Kamu jangan gentar dengan mereka! Itu cuma pakaian mereka tapi sebenarnya mereka itu bukan hebat, katanya. Itu membuatkan kami bersemangat semula dan akhirnya kami mendapat johan dalam pertandingan koir peringkat Paroki Tenom pada tahun 1984 dan mewakili paroki ke pertandingan peringkat pedalaman di Keningau pada tahun yg sama. Wakil Tenom pada waktu itu ialah St Anthony Tenom, St Peter Pamilaan dan St Anne Kalamatoi, Kemabong. Tema pada waktu itu ialah: 'Perdamaian Lahir Dari Hati Baru'. Itulah betapa kuatnya karisma mendiang George ini. Jasa dan pengorbanan arwah George ini tak dapat dinafikan. Amen.
Dalam bidang kemasyarakatan, George juga adalah orangnya yang mengajukan permintaan kepada YB Datuk Kadoh Agundong yang ketika itu adalah menteri kabinet Sabah untuk mendapatkan satu set alat muzik. Kumpulan Band Pamilaan kemudian aktif sehingga pernah dipanggil ke kampung lain.
George yang telah membangunkan rumah kediaman dekat Kg Kauraan Keningau kemudian menumpukan sepenuhnya tugas dalam perkhidmatannya. George telah bertukar ke bahagian pentadbiran Jabatan Penjara Keningau, kemudian ke Pejabat Daerah Kecil Sook dan Pejabat Daerah Nabawan.
GEORGE SADANGKAT adalah nama penting penggerak belia yang tidak boleh tidak, harus ada dalam lipatan sejarah perkembangan masyarakat Kg. Pamilaan.
GEORGE SADANGKAT, terberkatilah engkau. Dirimu, semangat mu dan pengorbanan mu, tidak akan pudar dalam ingatan kami, engkau akan sentiasa dalam kenangan kami, dan tidak akan pernah luput di dalam hati sanubari kami.
Berangkatlah engkau dengan damai dan tenang wahai saudara kami GEORGE SADANGKAT, kami akan selalu mendoakan mu dan keluarga mu, sekarang dan selamanya. AMEN.