Ads 468x60px

Friday, March 30, 2012

Penduduk Berharap Pembaikkan Jalan Lologubon Disegerakan

Penduduk kampung Pamilaan khususnya yang tinggal di kawasan Lologubon berharap agar pembikinan jalan yang menghubungkan Lologubon dan Pamilaan tengah dapat dibina dengan kadar segera. Hal ini kerana jalan sepanjang kira-kira 500m itu terbukti mampu memendekkan jarak perhubungan antara dua tempat ini. Pada masa kini, cuma satu jalan yang lazimnya digunakan oleh penduduk kampung disini iaitu sepanjang 3km. Maka dengan penyelengaraan jalan serta pembinaan 'culvert' di kawasan jalan ini semestinya memberi manfaat besar kepada seluruh penduduk kampung di sini. Jalan sepanjang 500m ini meliputi laluan ke Tanah perkuburan Islam dan Kristian.
Pada masa kini, pembinaan 'culvert' serta penyelengaraaan jalan di kawasan ini sudah pun di mulakan namun, kebelakangannya dilihat terbengkalai dan tidak disiapkan sepenuhnya. Hanya motorsikal sahaja yang dapat melalui jalan ini dan tidak kepada kenderaan lain. Penduduk kampung yang inginkan penjelasan berkaitan dengan penyelengaraan jalan ini tidak tahu ke mana harus mengadukan persoalan ini memandangkan kontraktor projek tersebut tidak meletakkan papan tanda di tapak projek tersebut.

Tinjauan rambang yang dibuat kepada lebih 20 orang responden di kampung ini, iaitu melalui bual bicara secara spontan minggu lepas, menunjukkan 100 peratus mengakui penyelengaraan jalan ini sememangnya mampu memberikan manfaat besar kepada penduduk kampung Lologubon khususnya. Namun terdapat dua pendapat yang diberikan oleh penduduk kampung iaitu yang menyokong penuh dan menyokong namun bersyarat.

Penduduk kampung kampung yang menyokong penuh pembinaan 'culvert' dan penyelengaraan jalan di kawasan ini sememangnya sudah melihat akan satu kebaikan yang dapat digunapakai bersama kelak. tanpa sebarang bantahan Bagi penduduk kampung yang menyokong dengan bersyarat, mereka meminta agar sebelum jalan tersebut dibuka, semua pagar dawai yang terdapat di kawasan 'paun' perlu diselanggara terlebih dahulu. Selain itu, pembinaan pintu pagar di kawasan culvert  tersebut juga perlu di buat terlebih dahulu. Hal ini kerana kebimbangan mereka akan keselamatan serta kes kecurian haiwan ternakan (lembu,kerbau) yang semakin menjadi-jadi. Menurut mereka, keadaan jalan ini adalah sunyi dan membimbangkan. Kebimbangan mereka ini lebih merujuk kepada keselamatan haiwan ternakan mereka namun mengakui pembinaan jalan di kawasan ini sememangnya satu usaha yang baik.Namun menurut seorang bekas pemimpin di kampung ini, terdapat masalah lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kenderaan dibenarkan melelui culvert tersebut, di mana pagar dawai sejauh tiga rantai (200 kaki) perlu di buka dan dicantumkan ke tepi pintu pagar kiri dan kanan culvert terbabit.

Maka dengan itu penduduk kampung amat berharap agar penyelengaraan jalan Pamilaan Tengah- Lologubon ini dapat disiapkan secepat mungkin setelah mengambil kira keperluan serta syarat yang diberikan demi keselesaan bersama.


Laluan yang hanya dapat dilalui oleh motorsikal


Pemandangan Culvert yang belum siap sepenuhnya





Oleh Joe Milan
Freelance Journalist

Wednesday, March 21, 2012

Milan United Kekalkan Kejuaraan



Milan United FC kekalkan gelaran juara
Milan United FC ternyata sukar digugat oleh pasukan lain setelah sekali lagi merangkul gelaran juara pada perlawanan bola sepak 7 Sebelah yang dianjurkan oleh belia kampung Tepoh 15-17hb mac lepas. Venue  perlawanan di adakan di padang Kampung Tepoh Tenom. Dalam pertandingan tersebut sebanyak 16 pasukan telah mengambil bahagian untuk sama berentap pada hari tersebut. Antara pasukan yang menyertai perlawanan tersebut datangnya dari Kampung Pamilaan, Kampung Tepoh, Menara Pamilaan , Senagang, Sigapon, Alab, dan banyak lagi.Tiga pasukan daripada kampung Pamilaan yang turut memberi saingan dalam pertandingan itu adalah  Milan United FC, Milan Junior FC dan Inter Milan FC.

Perlawanan tersebut dijalankan secara liga dan oleh kerana banyak pasukan yang mengambil bahagian, maka ianya dibahagikan kepada 2 kumpulan liga iaitu A dan B. Walaupun terpaksa melalui beberapa konflik permainan, Milan United FC berjaya mengekalkan momentumnya  sehingga berjaya mengheret Ultep FC, sebuah pasukan handalan dari Kampung Tepoh ke pentas final.

Perlawanan antara Milan United FC dan Ultep FC di pentas final berkesudahan dengan keputusan seri 0-0. Kedua-duanya memberikan persembahan serta corak permainan yang sangat menarik dan sengit  namun tanpa sebarang jaringan.. Perlawanan terpaksa ditentukan melalui sepakan penallti yang menyaksikan Milan United FC gah di hadapan dengan kemenangan 3-1 menewaskan Ultep FC. Pengurus pasukan Milan United FC , En Stanly Leo nyata tampak gembira dengan keputusan tersebut kerana pasukannya berjaya mengekalkan kejuaraan.

Sementara dua lagi pasukan dari Kampung Pamilaan , Milan Junior FC dan Inter Milan FC masing-masing mempersembahkan permainan yang berkualiti dengan mendapat tempat ke-3 dan Ke-4. Kejayaan Milan Junior FC meletakkan pasukan di tempat ke-3 secara keseluruhan  memperlihatkan skuad pelapis ini juga  sudah mempunyai beberapa sentuhan yang membanggakan. Skuad pelapis ini dibarisi pemain - pemain lebih muda. Dalam pertandingan tersebut Ultep FC merangkap penganjur perlawanan meletakkan pasukan mereka di tempat yang ke- 2. Satu pencapaian yang baik untuk semua pasukan dari kampung pamilaan setelah bermain secara liga bersama 13 pasukan yang lain. Diharapkan agar kejuaraan serta pencapaian seumpama ini dapat dikekalkan untuk masa-masa akan datang.


Milan Junior FC mencipta kejutan di tempat yang ke- 3

Inter Milan FC menempah nama di tempat yang ke -4


Oleh - Joe Milan

Tuesday, March 20, 2012

Ekspedisi Wasai Kampung Pamilaan


13 Mac 2012
Selepas semua perancangan diatur, saya bersama dengan 8 orang yang lain bergerak menyusuri jalan menuju ke destinasi dijanjikan iaitu Air Terjun yang terletak di hulu sungai Kampung Pamilaan. Kami akan bermalam di sana untuk semalaman. Tujuan kami bermalam di situ adalah kerana ingin merasai sendiri pengalaman bermalam di kawasan tersebut yang agak menarik, sejuk, nyaman serta jauh dari kawasan perkampungan. Kawasan ekosistemnya belum terganggu lagi dan kita masih berpeluang mendengar kicauan burung yang pelbagai.

Perjalanan menuju ke destinasi tersebut tidak seperti yang dijangkakan dan penuh dengan cabaran. Keadaan jalan yang sedikit berlubang menyukarkan kami sampai ke destinasi dalam masa yang ditetapkan. Kami menjangkakan akan sampai dalam masa 15-20 minit berdasarkan kepada jangkaan jarak iaitu 3-4KM dari kawasan perkampungan. Bertolak pada pukul 3.15 petang berserta dengan barang keperluan yang agak berat menyebabkan kami sampai ke puncak di mana kami akan meletakkan motosikal ,ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 3.55 petang. Selesai disitu, kami mula berjalan kaki meredah hutan , melalui denai sambil menuruni bukit yang agak curam. Perjalanan dari tempat letak motosikal ke kawasan air terjun mengambil masa 20minit lagi. Jalan ke tempat tersebut benar-benar mencabar kerana bukan sahaja curam malah sangat licin dan terpaksa lebih berhati-hati untuk menuruni bukit tersebut.Kami sampai ke tapak dimana kami akan mendirikan khemah pada pukul 4.18pm. Walaupun masih berasa penat, jelas kepuasan terpampang di wajah setiap peserta kerana akhirnya satu pengalaman bakal dimiliki kelak.

Selepas berehat sebentar, kami terus mengagihkan tugas kepada beberapa bahagian Dalam kumpulan ini tidak mempunyai ketua yang bertindak mengarahkan orang lain membuat tugasan. Setiap peserta sudah tahu akan tugas yang perlu dilakukan. Dua orang daripada kami bergerak mencari sebanyak mungkin kayu api yang akan digunakan untuk memasak, memanaskan badan serta acara unggun api pada waktu malam nanti. Sementara yang lain menyediakan khemah dan perlu disiapkan secepat mungkin kerana pada waktu itu hujan renyai-renyai sudah mula membasahi badan. Dalam keadaan tersebut kesejukkan mulai dirasai setiap peserta namun kerana semangat yang kental semuanya tidak menjadi penghalang.

Proses menghidupkan api mengambil sedikitr masa lantaran hujan yang turun.
Pada pukul 5.20pm, kawasan tersebut sudah mula gelap.Mungkin disebabkan oleh persekitarannya yang dipenuhi dengan pokok tinggi berkanopi dan melitupi kawasan khemah kami. Seorang rakan bergegas mengambil beras berserta periuk nasi untuk dibasuh sebelum dimasak. Tugas ini perlu dilakukan dengan  cepat sebelum semuanya terlambat. Walau bagaimana pun kami mengalami sedikit masalah semasa cuba menghidupkan api untuk memasak. Keadaan kayu api agak lembab ditambah pula dengan hujan yang masih turun mencurah-curah. Kami perlu bertindak secepat mungkin kerana hari semakin gelap di kawasan air terjun itu.Hanya selepas 20minit kemudian akhirnya api berjaya dihidupkan. Kawasan khemah bertambah sejuk dengan tempiasan air terjun yang menerjah masuk khemah kami. Air terjun hanya lebih kurang 3-4meter di hadapan khemah yang didirikan. Hanya tempat itu yang dilihat selamat dan strategik berbanding tempat yang lain, dengan permukaannya yang sedikit rata.


Semua makanan yang dibawa disimpan di beberapa sudut yang selamat agar tidak 'diceroboh' oleh semut -semut nakal.

Flismore dengan usahanya membuat tempat meletakkan barang yang dibawa,

Ignatius berperanan memastikan nasi yang dimasak sempurna.

Semua peserta berkumpul sebelum makan malam dimulakan.
7.30PM.
Keadaan persekitaran di kawasan air terjun  semakin gelap seolah-olah sudah 10PM. Hujan yang turun juga semakin lebat. Keadaan khemah yang kami dirikan seolah-olah tidak sesuai lagi untuk didiami oleh 9 orang. Tempiasan hujan masuk dan membasahi beberapa sudut dalam khemah kami. Beberapa peserta berbincang  antara satu sama lain samada perlu meneruskan ekspedisi ini atau balik sahaja pada malam itu.  Peserta lain  membantah dan menyatakan bahawa pengalaman itulah yang perlu dilalui serta diperolehi. Pengalaman ini sukar diperolehi di mana-mana dalam satu kumpulan yang ramai seperti ini. Hujan turun semakin lebat, hampir semua kawasan dalam khemah sudah menjadi basah. Selepas makan malam selesai, Tiga daripada kami terpaksa mengambil keputusan untuk pulang pada petang itu juga. Mungkin menyedari keadaan khemah kami yang tidak lagi sesuai dan selesa untuk menampung 9 orang. Kini kami hanya berenam dan ekspedisi ini perlu diteruskan kerana berasa rugi setelah beberapa usaha telah dilakukan.
8.20PM
Selesai makan malam, semua peserta bersiap sedia untuk membersihkan diri, mandi manda untuk malam itu. Satu keseronokan dan kepuasan yang tinggi bila dapat melakukan  satu perkara yang  jarang dilakukan dalam satu kumpulan. Keadaan awan masih lagi gelap dan saya menjangkakan bahawa hujan akan turun sepanjang malam ini. Keadaan bertambah sejuk,  hanya lebih kurang 15minit sahaja kami berada dalam air. Semua peserta naik dan masing-masing mengelilingi unggun api yang hampir terpadam.

9.00PM
Setiap peserta sudah siap sedia untuk menjalankan beberapa aktiviti malam yang telah dirancang. Terdapat beberapa aktiviti yang dirancang pada malam itu tidak dapat dijalankan akibat hujan yang masih turun. Hanya beberapa permainan sahaja yang dijalankan secara spontan disamping beberapa aktiviti tambahan iaitu RSS (Rancangan Suka-suka).

10PM
Hujan telah reda. Beberapa peserta berbincang untuk meneruskan aktiviti pada malam itu iaitu 'Nightwalking'. Dalam keadaan hanya berenam, perlu ada peserta yang akan tinggal di khemah untuk berjaga di kawasan itu. Dua daripada kami tinggal dan tidak ikut serta dalam aktiviti 'nightwalking'. Manakala saya dan 3 orang yang lain meneruskan untuk menyusuri ke hulu sungai serta denai dengan hanya berbekalkan lampu suluh yang agak suram. Tujuan kami berbuat demikian adalah untuk menikmati pemandangan malam di sepanjang sungai serta hutan di sekelilingnya. Kami perlu berhati-hati kerana bimbang akan binatang buas yang akan melalui tempat yang sama. Suasana didalam hutan tersebut tidak sunyi kerana terdapat banyak bunyi-bunyi unggas serta katak yang kadang membingitkan. Selepas berjalan lebih kurang 2 Kilometer, kami terpaksa mengambil keputusan untuk berpatah balik kerana hujan kembali turun mencurah-curah. Kesejukkan kembali dirasai.

12.15AM
Kami berempat sampai di kawasan khemah kami agak lewat .Air sungai pula semakin meningkat.Sampai ke tapak khemah, rakan  peserta yang bertanggungjawab menjaga khemah sudah menyiapkan beberapa makanan berserta kopi panas.  Selesai menjamah makanan, kami sempat mandi sekejap sebelum naik dan membuat persiapan untuk berehat
.
Walaupun sempit, peserta masih mampu tidur dengan selesa.
Sempat bergambar di hadapan air terjun sebelum bersarapan

Peserta bersarapan sebelum meneruskan aktiviti lain,

8AM 14 Mac 2012
Selepas bersarapan pagi, semua peserta bersiap sedia untuk aktiviti pada pagi itu. Beberapa aktiviti berbentuk pertandingan dijalankan yang bertujuan mengisi masa yang terluang. Aktiviti sebenar yang telah dirancang tidak dapat dijalankan kerana masalah teknikal. Aktiviti tersebut hanya dilakukan di sekitar kawasan tapak perkhemahan.

10AM
Kali ini, cuaca agak baik dan cerah. Semua peserta mengambil peluang mandi manda sebelum tiba waktu bertolak balik. Beberapa bentuk permainan diadakan agar pengalaman mengikuti ekspedisi tersebut lebih menarik. Jam sudah menunjukkan 11PM, semua peserta naik ke tapak khemah untuk menguruskan diri. Kesemuanya sudah puas berendam dalam air yang sejuk. Semua peserta bekerjasama menyiapkan makanan tengahari sebelum bertolak balik. Terdapat banyak baki makanan yang tidak dapat dimasak, dan perlu dibawa  balik semula.

Makan tengahari yang serba ringkas namun tetap menyelerakan
12.30PM
Selepas sahaja makan tengahari selesai, semua peserta terus mengemaskan barang-barang peribadi, mengemaskan khemah,serta  membersihkan seluruh kawasan khemah. Ekspedisi seumpama ini merupakan hanya sedikit pendedahan kepada semua peserta dalam membuat persiapan awal. Kami merancang untuk menjalankan satu ekspedisi yang lebih bersifat ekstrim suati masa nanti di tempat yang lain. Harapan kami semua peserta agar tempat seumpama ini terus terpelihara dan terhindar daripada segala anasir atau bentuk aktiviti yang menggugat kelestarian kawasan rekreasi ini supaya dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Tepat pada pukul 12.50PM kami bertolak balik ke  kampung halaman.
Peserta bergambar sebelum bertolak balik ke kawasan perkampungan

Oleh: Joe Milan
Gambar: Joe Milan

Maklumat mengenai Air Terjun ini boleh di baca di sini

Sunday, March 4, 2012

Air Terjun 'Wasai' Kampung Pamilaan

Wasai Kampung Pamilaan

Jika anda seorang penggemar aktiviti rekreasi dan menginginkan suasana yang tenang, aman serta bersih, 'Wasai' Kampung Pamilaan mungkin boleh menjadi pilihan anda. Wasai ini terletak berhampiran dengan sempadan banjaran Crocker yang dipanggil Kukuton. Air terjun ini 100% belum tercemar daripada segala bentuk pencemaran dan sesuai untuk mereka yang menginginkan ketenangan.

Jarak perjalanan untuk sampai ke destinasi ini ialah lebih kurang 6KM dari jalan raya besar (Simpang Kampung Pamilaan). Hanya kereta pacuan 4 roda dan motosikal sahaja yang boleh dinaiki untuk sampai ke tempat ini. Namun jika anda memilih untuk menguji ketahanan diri serta mental mungkin anda boleh berjalan kaki sahaja dari kawasan perkampungan. Anggaran masa untuk sampai ke destinasi dengan menaiki  kereta 4X4 adalah dalam 15-20 minit sahaja bergantung kepada keadaan cuaca semasa. Manakala sekiranya anda memilih untuk berjalan kaki anggaran masa yang diambil adalah 1 jam hingga 2 jam.

Buat masa ini, Wasai hanya boleh dikunjungi untuk pergi dan balik sahaja kerana belum mempunyai tapak perkhemahan yang selesa. Walaubagaimana pun sekiranya terpaksa bermalam, anda boleh membawa beg tidur atau 'Hamock' sahaja. Air terjun ini sering dikunjungi oleh penduduk kampung pamilaan terutama sekali belia di kampung ini. Sekiranya anda bercadang untuk melawat tempat ini dan memerlukan bantuan sebagai penunjuk arah, anda boleh menghubungi sesiapa sahaja belia di kampung ini.



Ketinggian Air Terjun ini boleh dianggarkan kira-kira 3 meter lebih manakala kedalamannya adalah lebih daripada 7 kaki.. Segala aktiviti menangkap ikan adalah dilarang sama sekali kerana  kawasan ini masih termasuk dalam kawasan yang di 'tagal' oleh pengurusan kampung Pamilaan sendiri. Anda hanya dibenarkan mengunjungi tempat ini tanpa melakukan apa-apa gangguan terhadap persekitaran kawasan Air Terjun Wasai ini.



Laporan semasa mengenai Wasai ini akan di update mengikut keperluan

Oleh JoeMilan
Semua gambar di atas diambil oleh Rick Marthel

Thursday, March 1, 2012

Jalan Rosak Dan Berlubang di Kampung Pamilaan Dibaiki

Kampung Pamilaan, Tenom- Beberapa jalan rosak dan berlubang di sepanjang jalan Kampung Pamilaan kini sudah pun dipulihkan. Sebelum ini, keadaan jalan tersebut mengundang terlalu banyak rungutan dalam kalangan penduduk kampung yang menyatakan jalan tersebut tidak pernah diselenggara sejak projek jalan tersebut siap sepenuhnya pada akhir 2008.

Terdapat faktor yang dapat dinyatakan disini, telah menyebabkan jalan tersebut rosak serta berlubang. Seperti umum mengetahui, jumlah had muatan yang boleh melalui jalan tersebut harus tidak melebihi daripada 5 tan. Namun kehadiran beberapa lori balak, lori pasir dan sebagainya keluar masuk dengan had muatan yang berlebihan menyebabkan terdapat beberapa bahagian jalan menjadi mendap. Tanah mendap tersebut telah mengakibatkan jalan raya membentuk satu lubang di tengah jalan dan akan menakung air sekiranya hari hujan. Proses tersebut yang berterusan mengakibatkan jalan raya semakin rosak dan sukar dilalui terutama sekali kepada kenderaan yang bersaiz kecil. Perkara inilah yang terjadi di beberapa bahagian jalan Kampung Pamilaan dengan 3 bahagian yang dapat dikenalpasti iaitu tanah mendap tepat berhampiran dengan rumah En. Albert Karang, En.Usip Gansilau dan satu bahagian lagi berlaku di bahagian selekoh tajam 'Kiabal'. Adalah menjadi tanggungjawab pengurusan kampung termasuk Ketua Kampung serta JKKK untuk mengawal kemasukan lori-lori tersebut keluar masuk di kampung demi menjaga kualiti jalan di kampung ini.

Kini, ketiga-tiga bahagian yang dinyatakan di atas sudah pun di baiki oleh pihak JKR hasil usaha yang dilakukan oleh PKR En Balasius Masuning mendesak pihak bertanggungjawab tersebut melakukan selenggaraan pada jalan tersebut. Desakan tersebut juga datang hasil suara penduduk kampung melalui LAPORAN INI..Terima Kasih, syabas kepada PKR atas usaha tersebut dan sebagai penduduk kampung di Pamilaan apa yang penting adalah hak serta keselesaan seluruh penduduk terbela. Penduduk kampung yang ditemui bersyukur dengan langkah yang diambil, dan lebih berbesar hati sekiranya lebih banyak lagi pembangunan dalam apa juga bentuk termasuk pembaikan, penaiktarafan, serta infrastruktur dilakukan di kampung ini demi kesejahteraan bersama.

Keadaan jalan selepas dibaiki

Sebelum dibaiki


-Gambar selebihnya akan di publish kemudian.

Oleh Joe Milan
 
 
Blogger Templates