Ads 468x60px

Monday, December 26, 2011

Warga Emas Diraikan Sempena Perayaan Krismas 2011

Seramai 12 orang warga emas diraikan bersempena dengan sambutan perayaan krismas di sini pada pagi 25 Disember 2011. Sambutan ini diadakan di Gereja St.Peter Pamilaan selepas Ibadat Sabda pada pagi Krismas.Acara seumpama ini merupakan acara yang boleh dianggap wajib diadakan pada setiap tahun. Menurut wakil penganjur acara itu, saudara Steven Malujin, Acara itu diadakan pada setiap tahun bagi memberi penghargaan kepada warga emas bukan sahaja sebagai ibu bapa tetapi juga sebagai insan yang memberi banyak sumbangan kepada masyarakat. Mereka yang diraikan adalah warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas. Acara ini memberi peluang kepada setiap ahli keluarga mereka merapatkan lagi hubungan silaturahim antara mereka, mengenang dan menghargai jasa mereka dan inilah objektif utama mengapa acara ini diadakan pada setiap tahun.

Dalam sambutan tersebut, warga emas mula diraikan dengan acara pemotongan kek ulangtahun mereka. Disusuli pula dengan acara bergambar bersama ahli keluarga. Setiap ahli keluarga diberi peluang bersalam-salaman, memeluk, mencium warga emas atau ibu bapa mereka serta memberi hadiah kepada mereka. 

Acara ini hanya berlangsung selama kira-kira 30-40 minit sahaja. Walaupun singkat, namun tambah saudara Steven, apa yang penting adalah acara tersebut diadakan dan objektif penganjuran juga tercapai. Beliau menyarankan agar acara ini harus diadakan pada setiap tahun sebagai salah satu cara menghargai jasa dan sumbangan mereka.

Reaksi gembira, terharu dan sayu tampak terpampang pada wajah setiap warga emas pada ketika itu dan ada kalangan mereka yang menitiskan air mata. Suasana pada detik itu sangat menyentuh perasaan dan terdapat warga emas yang hadir dalam acara itu tanpa kehadiran anak-anak mahu pun cucu bersama mereka.

Jumlah sebenar warga emas iaitu yang berumur 60tahun keatas di kampung ini adalah melebihi 20 orang, namun yang dapat hadir cuma 12 orang sahaja.

Di bawah merupakan antara gambar yang memaparkan suasana dalam sambutan itu.

Gambar warga emas yang lain boleh didapati daripada saya.


Oleh Joe Milan

Thursday, December 22, 2011

Krismas Karoling 2011

Karoling 2011 kampung Pamilaan yang diadakan pada 12hb-14hb Disember sempena dengan Perayaan Natal atau Krismas di sini pastinya menjadi satu pengalaman manis buat 43 peserta koir karoling atau disebut sebagai Carollers. "Pada tahun ini, penyertaan daripada peserta amat memberangsangkan sehingga mampu mengumpulkan 43 belia di kampung ini untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab sepertimana yang dituntut oleh agama", Demikian penjelasan Saudara Julius Elip yang bertindak selaku ketua kumpulan itu pada hari kejadian.

Mereka yang menyertai terdiri daripada.belia di kampung ini yang berumur 10 hingga 25 tahun. Sebahagian besar peserta Karoling tersebut merupakan mereka yang baru pertama kali menyertainya, dan ini merupakan sesuatu yang baik bagi memberi pendedahan kepada mereka berkenaan dengan pelayanan mereka dalam agama selain menjadi belia pelapis yang akan menggantikan peserta senior suatu hari nanti. 

Sebelum karoling dijalankan saudara Julius mengingatkan anak-anak buahnya bahawa adab serta disiplin adalah kunci utama dan harus dipegang oleh setiap peserta sepanjang 3 hari tersebut. Hal ini kerana peserta akan memasuki rumah orang dan sudah tentu peserta perlu memperlihatkan disiplin serta komitmen yang tinggi dalam pelayanan mereka. Namun tambah Julius, beliau berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan anak-anak buahnya meskipun Karoling kali ini merupakan yang pertama bagi mereka.

Keadaan cuaca baik  selama 3 hari tersebut membantu melancarkan perjalanan karoling kali ini. Aktiviti karoling dari rumah ke rumah ini dijalankan bermula pada jam 2 petang dan berakhir sekitar 8 hingga 10 malam bergantung pada jumlah rumah yang dilawati pada hari tersebut. Julius menambah, beliau sangat berterima kasih dan terharu dengan kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan rumah sehingga perjalanan karoling pada tahun ini berjalan dengan begitu lancar. Demikian juga kepada tuan rumah yang bersusah payah menyediakan makanan dan minuman untuk hidangan kepada para peserta. Beliau berharap agar situasi seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.





  
 


 Oleh : Joe Milan

Wednesday, December 21, 2011

Tamu Mingguan di Kampung Pamilaan Meriah


Hari selasa lepas, 20 Disember 2011, saya berkesempatan 'meninjau' penduduk kampung disini menjual hasil-hasil tanaman serta buah-buahan. Pada saya, ini sesuatu yang menarik dan harus dikekalkan kerana pembeli yang datang membeli bukan sahaja dari kampung ini sahaja malah dari kampung-kampung sebelah juga. Sekiranya ini dapat dikekalkan atau pun apa yang saya katakan sebagai Tamu Mingguan ini, maka ianya baik sekali kerana dapat memberi peluang kepada penduduk di kampung ini meniaga untuk menambahkan hasil pendapatan mereka.


Tamu Mingguan ini diadakan pada setiap hari selasa bersamaan dengan majlis AIM yang diadakan di balai raya kampung Pamilaan, juga diadakan setiap minggu. Saya sendiri tidak pasti apa nama penuh AIM ini. Namun yang pasti Tamu ini meriah dengan kehadiran lebih 50 orang yang mengunjungi tamu ini meski bukan peserta AIM. Ada yang saja-saja datang semata-mata hanya untuk membeli sayuran ataupun keperluan dapur lain. Saya sendiri melihat ada pengunjung dari Kampung Tepoh, Pamilaan bawah malah ada juga dari Pangalat. Inilah yang saya katakan sebagai meriah kerana kehadiran pengunjung dari sekitar kampung ini, bukan sahaja mereka dapat menjual hasil pertanian mereka tetapi juga dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk.

Kehadiran pengunjung yang boleh dikatakan agak ramai, tidak mendatangkan masalah walaupun ketiada an kemudahan infrastruktur yang disediakan. Ada yang berniaga di bawah pohon pokok, di atas tanah dan ada juga yang membawa meja dari rumah masing-masing. Apa pun,saya tidak dapat bayangkan bagaimana situasi jika hujan turun, mungkin menyukarkan penduduk berjual beli kerana kekurangan tempat berlindung.Maka sebab itulah mereka perlu 'menaiktaraf' kemudahan seperti pondok dan sebagaimya. Pendapat saya, tamu di Kampung Pamilaan ini harus diteruskan walaubagaimana pun mereka perlu menyediakan tempat yang lebih baik demi keselesaan penjual dan juga pembeli. Tamu ini boleh dikembangkan lagi dan saya percaya ia boleh menjadi salah satu tarikan di kampung ini suatu hari nanti.

Ini adalah antara gambar-gambar yang saya sempat ambil pada masa itu..







Penduduk yang mengambil peluang menjual hasil tanaman mereka di tamu ini.




Pengunjung sedang tawar-menawar dengan penjual













Terdapal pelbagai produk yang dijual di sini









                 Daging juga ada dijual.





Haro nogi boh bosou..








Oleh  Joe Milan.

Saturday, December 17, 2011

Bola Sepak 9 Sebelah Anjuran Komulakan Kg Pamilaan Berjaya

Kampung Pamilaan- Perlawanan bola sepak 9 sebelah yang telah dianjurkan oleh Komulakan kampung Pamilaan pada 16 Disember 2011 dianggap berjaya dan mencapai matlamat. Demikian dinyatakan oleh Ketua Kampung En. Johnny Borok dalam ucapan penutup beliau sejurus selepas perlawanan berakhir kira-kira pada pukul 2.30 petang.

Beliau merujuk kepada penyertaan daripada Kampung Tepoh yang berjaya menghantar dua pasukan selain 4 pasukan daripada Kampung Pamilaan sendiri. Tambah beliau, penganjuran seumpama ini adalah satu aktiviti yang sangat baik. Menurut wakil penganjur perlawanan tersebut saudara Stanley Leo, pertandingan tersebut terbuka kepada pasukan daripada Zon satu, iaitu merangkumi Kampung Mongol, Kampung Pamilaan, Kampung Tepoh dan Kampung Pangalat. Namun hanya pasukan daripada Kampung Pamilaan dan Tepoh sahaja yang berjaya menghantar pasukan.  Menurut beliau, kekurangan publisiti serta mungkin masalah dalaman daripada kampung lain sendiri yang menyebabkan mereka tidak dapat menghantar sekurang-kurangnya satu pasukan. Apa pun bagi beliau, apa yang penting adalah matlamat penganjuran perlawanan tersebut mencapai matlamat iaitu ingin merapatkan lagi hubungan silaturahim antara kampung di peringkat Zon satu.

Anjuran perlawanan bola sepak 9 sebelah tersebut telah ditaja oleh saudara Sukim Sarat manakala AJK penganjur dilaksanakan oleh Komulakan Kampung Pamilaan sendiri. Sebanyak 6 pasukan yang telah berentap dalam perlawanan tersebut iaitu Milan United FC, Milan United Junior, Real Milan, Inter Milan, Ultep FC A dan Ultep FC B. Perlawanan tersebut dijalankan mengikut sistem Liga.Manakala Milan United FC melakarkan sejarah tersendiri apabila sekali lagi berjaya mengekalkan kejuaraan dalam anjuran tersebut. "Kekuatan pasukan Milan United FC memang tidak dapat dinafikan kerana pemain pasukan tersebut terdiri daripada pemain yang sudah berpengalaman bermain dalam mana-mana anjuran di sekitar Zon Satu", Kata salah seorang pemain Real Milan FC.
Berikut merupakan keputusan penuh dalam pertandingan tersebut,

1.Milan United FC (Juara Bertahan)
2.Real Milan FC
3.Ultep FC A
4.Milan United Junior
5.Inter Milan FC & Ultep FC B

Gambar-gambar sekitar perlawanan tersebut





Ketua Kampung En Johnny Borok berucap dalam ucapan perasmian penutup pada perlawanan tersebut.



Sebahagian daripada para pemain yang sabar menunggu sehingga majlis selesai walaupun terpaksa berjemur di bawah pancaran matahari terik. Semangat kesukanan yang harus dicontohi.










En Stanley dan En Emmanuel sedang menyaksikan perlawanan dari tepi padang.











 Ketua pasukan Milan United FC saudara Flismore Martin menerima piala dan hamper daripada En Johnny.








Saudara Rayner Devin mewakili Real Milan FC menerima piala dan hamper selaku penyandang tempat kedua.







  

Ketua pasukan Ultep FC A , Moses Paulus. menerima piala di tempat yang ketiga











Fabian Martin diiktiraf sebagai pemain penjaring terbanyak dalam pertandingan tersebut.








Fabian Martin daripada Milan United FC telah dinobatkan sebagai pemain penjaring terbanyak dalam perlawanan tersebut setelah mengumpul 5 jaringan sekaligus berjaya membawa pulang sebuah stand medal sebagai pengiktirafan kepada beliau.
Ketua Kampung, En Johnny Borok berharap agar anjuran seumpama itu dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang. Majlis bersurai pada pukul 3 petang.




 Oleh Joe Milan.

Thursday, December 15, 2011

Tentang Kampung Pamilaan

KG. PAMILAAN adalah sebuah kampung yang terletak 25km dari Pekan Tenom dan 23km dari Pekan Keningau. Kg. Pamilaan diasaskan oleh suku kaum Dusun yg berhijrah dari Tambunan (Kirokot)pada era penjajahan British lagi. Antara orang-orang terawal meneroka kampung ini ialah Saudara Gibun, Kilam, Konoyot Pengeutat(ibu Hj Hassim Dagas)serta banyak lagi. Nama Kg. Pamilaan dipilih berasaskan nama sungai di kampung ini iaitu Sungai... Pamilan yg menyusur dari Ulu Tobobon hingga ke Batu 15. Kini Kg. Pamilaan dihuni kira2 85% suku Dusun, dan selebihnya lain2. 60% Kristian, selebihnya adalah Islam dan Budha. Sebahagian besar penduduk di sini bekerja sebagai petani, selebihnya peniaga, pekerja awam dan swasta. Diantara tempat yang menarik d kg ini ialah Taman Rekreasi Batu 15, Air Terjun Pamilan ( terletak d Ulu Sg. Pamilan).

( Ini adalah sebahagian maklumat yg saya dapat. Ketepatan dan kesahihan maklumat ini masih dalam proses pencarian...)

Kampung Pamilaan

Selamat sejahtera,

Blog Kampung Pamilaan ini diwujudkan pada Disember 2011 untuk memaparkan berita-berita yang berlaku di sekitar Kampung Pamilaan sendiri. Sesiapa sahaja yang mempunyai berita dari kampung Pamilaan dialu-alukan untuk mengongsikan di dalam blog ini. Jika anda berminat untuk menulis dalam blog ini, sila minta kebenaran daripada Admin untuk menyiarkan berita anda disini. Segala berita diterima termasuk, isu semasa, politik, reakriasi, hiburan dan sebagainya.



 
 
 
Blogger Templates